Ribuan penyokong sambut kepulangan Guaido

Kepulangan Guaido ke Caracas disambut ribuan penyokongnya. - Foto AFP
Kepulangan Guaido ke Caracas disambut ribuan penyokongnya. - Foto AFP
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Ribuan rakyat Venezuela yang juga penyokong Juan Guaido, menyambut meriah kepulangan pemimpin pembangkang itu ke Caracas, semalam.

Ketibaan Guaido di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar turut disambut diplomat Amerika Syarikat (AS) dan negara Kesatuan Eropah (EU).

Terdahulu, Guaido berdepan risiko ditahan pihak berkuasa akibat ingkar larangan perjalanan yang dikenakan mahkamah tinggi negara itu dan meninggalkan Venezuela demi melobi bantuan antarabangsa.

Ditemani isterinya, Guaido kemudian bergegas ke daerah Las Mercedes untuk menemui penyokong dalam sebuah protes anti kerajaan.

"Sabtu ini kami akan kembali mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara demi menuntut hak dan kebebasan," kata ketua Himpunan Kebangsaan itu yang turut memperingati mangsa yang terkorban ketika pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa di sempadan Brazil-Venezuela.

Pertembungan antara Guaido yang menerima sokongan kuat AS dan Presiden Nicolas Maduro yang disokong China dan Rusia semakin memuncak susulan tindakan presiden berkenaan melarang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Venezuela.

Guaido bertegas membawa masuk bantuan kemanusiaan demi menyelamatkan rakyat Venezuela yang dihimpit kebuluran dan kekurangan bekalan asas termasuk ubat-ubatan.

Sementara Presiden Maduro enggan menerima sebarang bentuk bantuan antarabangsa terutama dari AS yang dilihat cuba menggulingkan kerajaannya. - BBC

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!