Tidak perlu pertikai nilai pelaburan Risen Energy

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi,Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail
Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi,Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail
A
A
A

ALOR SETAR - Penilaian pelaburan pembuatan panel solar syarikat Risen Energy oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah badan yang diperakui dalam negara.

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, kenyataan oleh MITI dan MIDA itu adalah pengumuman rasmi untuk rujukan negara dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, pelaburan bernilai RM42 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bagi membina kilang pembuatan panel solar itu turut diumumkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada 9 Jun lalu.

“Kemasukan pelaburan itu dikukuhkan lagi dengan pengumuman kali kedua oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Jun lalu selepas mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi dan Presiden Risen Energy, Xie Jian.

MITI turut memaklumkan kerajaan meluluskan pelaburan Risen Solar Technology Sdn Bhd bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel-sel solar serta modul-modul solar di Malaysia bernilai RM42.2 bilion,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Pada sesi tersebut, Mukhriz membangkitkan persoalan berhubung kesahihan nilai pelaburan yang terlalu tinggi selain medium yang digunakan syarikat berkenaan untuk mengumumkan pelaburan terbabit di China.

Mengulas lanjut, Ku Abd Rahman berkata, berdasarkan kenyataan MITI, lima negeri tertinggi nilai pelaburan bagi sektor pembuatan adalah Kedah sebanyak RM42.4 bilion, Sabah (RM4.3 bilion), Selangor (RM4 bilion), Melaka (RM3.4 bilion) dan Johor (RM1.7 bilion).

“Pelaburan anak syarikat Risen Energy Co Ltd itu adalah bagi tempoh 15 tahun mengikut Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan dijangka menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pihaknya pernah mencadangkan agar nilai pelaburan berkenaan dikecilkan mengikut fasa, namun syarikat terbabit berhasrat mahu melabur sekali gus dan ia diluluskan pada Januari lalu.

“Projek selama 15 tahun ini secara berfasa iaitu fasa pertama (2021-2025) diikuti fasa kedua (2026-2030) dan ketiga (2031-2035), dengan pecahan pelaburan RM13.196 bilion dan seterusnya masing-masing RM14.52 bilion.

Ini bermakna setiap tahun kita akan peroleh pertambahan pendapatan secara konsisten sepanjang tempoh itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!