Remaja CP teruja terima vaksinasi

Raja Iskandar(kanan) bersama ayahnya, Raja Azman yang menemani anaknya untuk program vaksinasi di PPV Dewan Tun Razak pada Selasa.
Raja Iskandar(kanan) bersama ayahnya, Raja Azman yang menemani anaknya untuk program vaksinasi di PPV Dewan Tun Razak pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang remaja yang menghidap palsi serebrum (CP) antara pelajar sekolah di negeri ini yang teruja untuk mengambil dos pertama vaksinasi sempena Program Vaksinasi Covid-19 Remaja Daerah Temerloh pada Selasa.

Raja Iskandar Raja Azman,17, pelajar aliran pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya di sini ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tun Razak, Temerloh sempena program tersebut.

Ditemani bapanya, Raja Azman Raja Mahmud, 45, remaja itu memberitahu, dia tidak takut untuk mengambil suntikan berkenaan.

"Tak takut malah gembira kerana mendapat suntikan ini. Saya pun tak sabar kembali ke sekolah dan berjumpa rakan-rakan lain," kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Raja Azman memberitahu, anaknya kelihatan bersemangat sejak awal pagi dan mereka menunggu sekitar jam 9 pagi di PPV berkenaan.

"Saya juga lega kerana anak sudah mendapat vaksinasi dan buat masa ini tiga lagi anak yang berusia 15, tujuh tahun dan sembilan bulan masih belum mendapat suntikan," ujarnya.

Jelas beliau, Raja Iskandar dilahirkan tidak cukup bulan ketika kandungan berusia tujuh bulan. Dia menghidap CP sejak lahir akibat kekurangan oksigen.

CP adalah sejenis penyakit kerosakan otak yang menyebabkan kebolehan pesakit mengawal koordinasi dan pergerakan otot tubuh terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri sambut anak di dalam kereta yang dipandu jiran ketika isteri dibawa ke hospital," jelas pekerja bengkel itu.

Seramai 42,875 remaja berusia 16 dan 17 tahun di Pahang, dijangka lengkap menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjelang hujung bulan ini selepas program tersebut bermula sejak Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!