Ku Li bangkit persoalan status pengharaman UMNO pada 1988
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membangkitkan kembali persoalan mengenai status pengharaman UMNO yang berlaku pada 1988 ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau mendakwa bahawa keputusan yang dibuat lebih 30 tahun lalu itu tidak berasas dan tanpa mengikut undang-undang negara.
Tengku Razaleigh pada sidang akhbar selepas perbahasan berkata, Pendaftaran Pertubuhan ketika itu tidak memiliki bidang kuasa bagi membatalkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan.
“Dia (UMNO) tidak pernah melanggar mana perundangan negara dan tidak pun melakukan sesuatu yang salah dari segi pentadbiran. Maka tidak ada sebab mengapa pendaftaran badan ini dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan,” katanya.
Pada 1988, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha untuk kembali menghidupkan UMNO ketika itu tidak berlaku kerana ramai pihak masih takut susulan krisis Perlembagaan dan politik yang berlaku.
“Jadi sebab itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengatakan bahawa sahih penghakiman itu tidak sah untuk dikemukakan. Mengapa di Parlimen? Ini kerana kerana politik mesti dibuat di Parlimen dan biarlah Parlimen membicarakan kes macam ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!