Jangan terpedaya jenayah scammer
MASALAH penipuan wang atau scammer bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya kegiatan jenayah itu telah berlarutan sejak sekian lama, seolah-olah tiada jalan penyelesaian walaupun modus operandi sama digunakan.
Banyak amaran telah diberikan, berpuluh-puluh artikel mengenai scammer disiarkan di akhbar tetapi saban hari masih ramai juga yang ditipu.
Lebih menghairankan, yang sering menjadi mangsa adalah golongan profesional dengan latar belakang pendidikan tinggi seperti doktor, jurutera, peguam, cikgu, pensyarah dan pegawai tinggi kerajaan.
Sindiket penipuan dalam talian atau scammer ini bijak mempermainkan emosi untuk memanipulasi psikologi mangsa sehingga mereka ditipu 'hidup-hidup’.
Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan sudah menjadi fitrah buat seseorang itu yang mahukan teman hidup, kesenangan, wang dan kuasa.
Sindiket pula bijak mencari ruang dan peluang mengeksploitasi kelemahan itu, lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi maklumat khususnya internet dan penggunaan media sosial tanpa sempadan.
Akibat terlalu mengikut nafsu, hanya bersenjatakan kata-kata cinta dan janji manis sahaja sudah cukup untuk penjenayah ini merompak ratusan ribu, malah mencecah jutaan ringgit daripada mangsa mereka.
Lebih 300 laporan berhubung jenayah pemerasan atau ugutan menyebarkan video lucah diterima Polis Selangor di negeri itu sejak Januari hingga kini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 50 laporan.
“Ada individu yang menggunakan teknologi ini bagi melakukan sesuatu jenayah seperti pemerasan berkaitan rakaman video lucah,” katanya dalam program Bual Bicara di Facebook Live Polis Selangor.
Nik Ezanee berkata, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan kelemahan diri mangsa iaitu nafsu untuk melakukan jenayah pemerasan.
“Mangsa menjadi ghairah apabila melayari aplikasi tertentu, kemudian pihak berkenaan merakam aksi lucah tersebut tanpa disedari mangsa,” katanya.
Mangsa akan diugut supaya membayar sejumlah wang atau mata wang kripto ke akaun tertentu dan jika mangsa berdegil, rakaman aksi lucah itu akan ditularkan.
Menurut Nik Ezanee lagi, budaya masyarakat yang berfikiran semua kesalahan boleh diselesaikan dengan cara tidak sah atau ‘setel tepi’ menjadikan golongan berkenaan sasaran mudah buat individu dan sindiket penipuan yang semakin berleluasa.
“Jangan fikir kita boleh ‘setel tepi’ kerana di situlah kita akan kena tipu. Kalau yakin tiada kesalahan, kita tidak perlu risau. Tiada polis yang boleh minta bayaran untuk selesaikan kes. Polis mesti panggil ambil keterangan di balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” kata beliau.
Pepatah ada mengatakan berani kerana benar, takut kerana salah, jika tidak buat salah kenapa perlu takut?
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Superintenden Raduan Othman pula menyifatkan usaha membanteras kegiatan sindiket scammer itu seperti teori aisberg.
Katanya, jenayah siber itu sangat sukar ditangani kerana ia seperti puncak aisberg, hanya dapat melihat bahagian permukaan tetapi dasarnya macam-macam yang berlaku.
“Contohnya jika saya ditipu untuk memasukkan wang ke dalam satu akaun, dari segi pembuktian di mahkamah pemilik akaun yang bersalah tetapi sebenarnya pemilik akaun juga merupakan mangsa sindiket ini,” katanya.
Sindiket penipuan berkenaan menjadikan pemilik akaun sebagai 'kambing hitam’ dan bijak mengubah modus operandi mereka apabila kegiatan mereka dihidu pihak polis.
Jadi, kita perlu sentiasa bersiap sedia kerana dengan kemajuan capaian internet di negara kita, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penjenayah siber ini.
Hanya dengan ayat-ayat yang manis untuk menjerat mangsa, sindiket mampu memperoleh puluhan ribu ringgit.
* Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ialah Wartawan Meja Jenayah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!