MFL saran kelab Liga-M berbelanja ikut bajet
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membubarkan Perak II FC iaitu skuad pembangunan kepada Perak FC diambil setelah pengurusan The Bos Gaurus melakukan kajian menyeluruh selepas kelab induk tersebut tersingkir ke Liga Premier 2022 musim depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu juga percaya perkara setelah mengambil kira pelbagai faktor dalaman kelab tersebut dengan tumpuan utama diberikan kepada kepada pasukan utama tahun hadapan.
“Pada fasa Covid-19 ini dan pemulihan serta penstabilan semula operasi mana-mana kelab baik Liga-M atau selain itu, beberapa keputusan besar untuk mengharungi tahun 2021 perlu dibuat. Kita selalu menggalakkan kelab Liga-M berbelanja mengikut bajet selain juga perlu berhemah dalam perbelanjaan masing-masing.
“Ini mungkin keputusan pengurusan Perak FC yang terbaik bagi menstabilkan semula operasi Perak FC ini. Kalau ini terbaik untuk pemulihan pasukan Perak FC, kita perlu juga menyokong keputusan kelab ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
PAFA pada Jumaat membuat keputusan membubarkan Perak FC II selepas skuad utama tersingkir ke Liga Premier apabila mahu memberikan fokus kepada skuad utama untuk bangkit dalam tempoh dua tahun sebelum kembali ke pentas Liga Super.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!