Vaksinasi Malaysia berada di landasan tepat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Vaksinasi Malaysia berada di landasan tepat apabila berjaya mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin Covid-19 sebelum akhir tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan Twitter rasminya pada Selasa.

Walaupun sebelum ini kerajaan menjangkakan negara mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini, namun berkat usaha dan gerak kerja yang berkesan daripada semua pihak, Malaysia berjaya menuai hasil tiga bulan awal.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKVAV), sehingga jam 11.59 malam Isnin, 79.6 peratus populasi dewasa telah lengkap dos vaksinasi Covid-19.

Justeru, dengan penambahan 0.4 peratus pada Selasa, Malaysia berjaya mencapai imuniti kelompok tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanapun berkata, meskipun sasaran awal telah dicapai, namun pihaknya akan terus berusaha menjejaki 20 peratus lagi yang belum dan enggan divaksinasi.

Ini penting bagi memastikan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat dapat dikurangkan, sekali gus rakyat bersedia hidup dalam suasana endemik yang bakal diumumkan kerajaan kelak.

Susulan itu, rata-rata rakyat Malaysia juga pastinya gembira dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan pembukaan stadium dan juga kebenaran operasi perniagaan secara seragam di semua fasa sehingga jam 12 malam, kecuali bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel Berkaitan:

Keputusan tersebut diputuskan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mengadakan Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet pada Selasa.

Bagaimanapun, keputusan itu akan diangkat pula di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada Rabu sebelum diputuskan untuk dikuatkuasakan.

Mesyuarat itu juga dijangka menfokuskan kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar ia berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti mana yang dirancang pada permulaan Oktober.

Sehubungan itu, diharapkan rakyat tidak leka dengan berita gembira tersebut, sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!