‘Premium Outlet’ di Langkawi

A
A
A

Tengku Zafrul (belakang, kiri) dan Asri (belakang, kanan) menyaksikan Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet yang ditandatangani oleh Faris Najhan (depan, kiri), Nasaruddin (depan, tengah) dan Muhamad Sobri (depan, kanan).
Tengku Zafrul (belakang, kiri) dan Asri (belakang, kanan) menyaksikan Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet yang ditandatangani oleh Faris Najhan (depan, kiri), Nasaruddin (depan, tengah) dan Muhamad Sobri (depan, kanan).

BDBMBI bakal bangunkan ikonik baharu, naik taraf pelancongan Permata Kedah

BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usahasama Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bakal membangunkan projek pembangunan komersial bersepadu di Langkawi, Kedah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pembangunan komersial bersepadu itu akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Projek ini dibahagikan kepada beberapa fasa dan BDBMBI akan memfokuskan kepada pembangunan Fasa 1 dan 2 yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM817 juta. Baki fasa seterusnya adalah untuk pembangunan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Faris Najhan berkata, pembangunan komersial bersepadu itu meliputi ‘Premium Outlet’, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Keseluruhan pembangunan ini memfokuskan kepada konsep membeli-belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.

Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ di mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan ‘fusion’ berkonsepkan eksklusif atau 'fine-dining’ serta ‘coffee house’ akan mula dibangunkan pada Oktober 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2022.

“Fasa ini juga akan melibatkan pembinaan 37 unit outlet perniagaan di kawasan seluas 4.07 ekar.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membawa syarikat tempatan ke peringkat dunia, kualiti yang dihasilkan oleh syarikat pereka fesyen di sini telah dikenali di Malaysia serta perkhidmatan F&B turut menepati standard antarabangsa,” katanya.

Terdapat juga perkhidmatan F&B yang menampilkan seni budaya Melayu di dalam unit outlet perniagaan di Fasa 1 bagi menghidupkan seni budaya Melayu melalui makanan, penampilan kakitangan serta persembahan budaya khas kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Pihaknya menjangkakan sebanyak 100 peluang pekerjaan akan diwujudkan sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

Katanya, hampir 90 peratus usahawan di sekitar Langkawi serta Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penglibatan mereka dalam perniagaan di Fasa 1.

Tengku Zafrul (duduk, tengah) bergambar bersama Faris Najhan (belakang, kiri), Muhamad Sobri (belakang, kanan), Anis Rizana (duduk, kiri), Mohamed Sharil (duduk. dua dari kiri), Asri (duduk, dua dari kanan) dan Nasaruddin Abdul Muttalib (duduk, kanan).
Tengku Zafrul (duduk, tengah) bergambar bersama Faris Najhan (belakang, kiri), Muhamad Sobri (belakang, kanan), Anis Rizana (duduk, kiri), Mohamed Sharil (duduk. dua dari kiri), Asri (duduk, dua dari kanan) dan Nasaruddin Abdul Muttalib (duduk, kanan).

Terdahulu, Faris Najhan menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Cadangan Pembangunan Langkawi Premium Outlet antara BDBMBI dan Lada yang disaksikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi; Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated, Muhamad Sobri Osman.

Daya tarikan

Pada 20 November 2019, Lada telah menganugerahkan surat tawaran kepada BDB untuk membangunkan pembangunan komersial bersepadu di kawasan seluas 24.27 ekar di Padang Matsirat, Langkawi.

Enam bulan kemudian iaitu pada 6 Mei 2021, BDB ditawarkan surat tawaran yang telah dikemaskini untuk membangunkan kawasan yang lebih besar iaitu seluas 40.975 ekar.

Fasa 2 yang juga merupakan nadi projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Premium Outlet’ di atas kawasan seluas 29 ekar yang akan bermula pada Januari 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2024.

Fasa 2 ini akan menyaksikan penawaran kepada banyak jenama antarabangsa yang premium pada harga yang kompetitif sekali gus bakal menjadi destinasi pelancongan dan tarikan terbaharu di pulau peranginan itu.

“Pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah yang unik dan berbeza dengan konsep ‘Eco-Friendly’ serta ‘Low Carbon City’ yang meliputi kawasan hijau, keindahan lanskap tasik serta jambatan penghubung antara satu bangunan ke bangunan yang merupakan ciri-ciri istimewa serta tarikan di ‘Premium Outlet’ Langkawi,” katanya.

Keseluruhan pembangunan Premium Outlet ini memfokuskan kepada konsep membeli-belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.
Keseluruhan pembangunan Premium Outlet ini memfokuskan kepada konsep membeli-belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.

BDBMBI turut yakin pembangunan Fasa 2 akan merancakkan lagi ekonomi di Langkawi dengan menawarkan hampir 1,400 peluang pekerjaan kepada penduduk Langkawi khususnya dan penduduk Kedah amnya sekali gus membantu mengatasi masalah pengangguran di negeri ini.

“Insya-ALLAH, pembangunan ‘Premium Outlet’ ini mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke sini dan mengukuhkan lagi reputasi Langkawi sebagai destinasi percutian terkemuka di seluruh dunia,” ujarnya.

Sementara itu katanya, pembangunan komersial bersepadu ‘Premium Outlet’ Langkawi dirancang bagi mewujudkan sebuah produk tarikan pelancongan baharu yang memiliki kedai-kedai barangan berjenama, konsep pembangunan baharu yang pertama kalinya dibangunkan di pulau ini.

“Kami mengharapkan projek pembangunan ini akan menjadi nilai tambah kepada kemajuan industri pelancongan Langkawi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!