Kilang haram punca pencemaran udara di Sungai Petani
PUTRAJAYA - Kilang haram yang menjalankan aktiviti peleburan logam menjadi punca berlakunya pencemaran udara di Sungai Petani, Kedah.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, aduan yang diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) daripada penduduk adalah berasas setelah siasatan dan aduan dijalankan terutama menjelang awal pagi di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau.
"JAS telah mengeluarkan Perintah Larangan dan menjalankan operasi bersepadu sejak 2019 lagi.
"Kini JAS merujuk perkara ini kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani supaya tindakan diambil di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Menerusi hantaran itu, Tuan Ibrahim turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan asap tebal dikeluarkan dari kilang berkenaan.
Pada September tahun lalu, JAS menyita dua kilang kayu di Bukit Selambau selepas didapati tidak menggunakan sistem kawalan pencemaran udara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!