'Kehadiran saya tak pelik'
KERLING - Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Rosni Sohar teruja menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 Dewan Muslimat Pas Kawasan Hulu Selangor.
Rosni yang juga ADUN Hulu Bernam berkata, kehadiran beliau di mesyuarat itu tidak pelik kerana mengakui kerjasama UMNO dan Pas sepatutnya sudah lama terjalin.
Menurutnya, kekalahan pada PRU14 memberi pelbagai hikmah dan kini terbukti melalui kerjasama kedua parti tersebut demi perpaduan dan penyatuan ummah.
"Sudah tiba masanya kita bersama bagi memastikan bangsa dan agama Islam tidak terancam sebaliknya akan terus terbela daripada pihak tertentu.
"Sudah semestinya saya teruja dan bersyukur kepada Allah SWT serta terharu dengan penerimaan Muslimat Pas untuk saya hadir pada mesyuarat agung tersebut.
"Ketika PRK Semenyih baru ini juga kita berganding bahu berkempen dan ternyata kerjasama ia memberi manfaat kepada rakyat yang sememangnya mahu UMNO dan Pas bersatu,"katanya.
Rosni berkata, Wanita UMNO dan Muslimat Pas akan terus berganding melaksanakan beberapa program kemasyarakatan di peringkat negeri serta daerah.
Menurutnya, kemenangan parti itu pada PRK Cameron Highlands dan Semenyih membuktikan rakyat menyokong usaha penyatuan ummah melalui kerjasama kedua parti itu.
"Keputusan PRK tersebut menunjukkan pengundi atas pagar atau yang mengundi Pakatan Harapan pada PRU14, telah kembali mengundi kita selain undi dari penyokong Pas.
"Rakyat kecewa dengan janji-janji palsu kerajaan Harapan dan bimbang perkara berkaitan hak Bumiputera dan agama tergugat sehingga ada yang secara jelas berani menghina Nabi Muhammad SAW.
"Kerjasama UMNO dan Pas tidak disenangi Harapan maka sebab itu banyak tohmahan dan fitnah dibuat untuk menghasut rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!