Perbicaraan kes kartel daging Disember depan

Laporan Sinar Harian mengenai penahanan reman empat empat individu di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan logo halal.
Laporan Sinar Harian mengenai penahanan reman empat empat individu di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berkaitan pemalsuan logo halal.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan penuh membabitkan kes kartel daging yang menyalah guna logo halal akan dijalankan pada 14 hingga 16 Disember tahun ini.

Perbicaraan tersebut membabitkan sebuah syarikat bersama dua pengarah dan pengurusnya, yang didakwa atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu serta tanpa kelulusan untuk membekalkan daging sejuk beku.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, perkembangan itu susulan pendakwaan di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru yang telah dibuat pada Februari lalu.

“Sebenarnya kita telah mendakwa mereka pada Februari 2021. Satu perbicaraan penuh akan diadakan pada 14, 15 dan 16 Disember tahun ini.

“Lantaran itu kita meminta kepada masyarakat sekiranya ada perkara yang meragukan, sila laporkan kerana perkara berkaitan halal haram ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh kompromi,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin mengetahui status kes kartel daging yang menggemparkan negara sejak dilaporkan Disember tahun lalu.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging tersebut menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Kegiatan itu terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Dalam pada itu, Rosol berkata, setakat Ogos tahun ini, sebanyak 228 kes berkaitan status halal makanan telah dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kes ini melibatkan nilai rampasan sebanyak RM11.6 juta hanya membabitkan status halal bagi makanan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga komited dalam memastikan isu berkaitan status halal bukan membabitkan makanan diberi perhatian.

Justeru katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan alat memastikan status halal bukan makanan, seperti kosmetik dan pakaian yang diperbuat daripada kulit babi atau anjing.

“Ini juga sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Harap perkara ini akan dapat diselesai segera oleh Jakim,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!