Aktiviti pendakian, sukan lasak di Terengganu dibenar bermula Jumaat ini
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Aktiviti mendaki bukit atau gunung serta sukan rekreasi lasak seperti 'motocross', ATV dan 'mountain bike' dalam hutan simpanan kekal di Terengganu hanya dibenarkan secara harian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 24 September ini.
Jabatan Perhutanan Terengganu menerusi kenyataan rasminya berkata, jumlah peserta yang dibenarkan dalam aktiviti pendakian tidak melebihi tujuh orang dalam satu kumpulan pendaki serta disyaratkan mengguna perkhidmatan malim gunung berkelayakan atau berdaftar dengan pihak jabatan.
"Jumlah pendaki dihadkan kepada 50 orang sehari tidak termasuk malim gunung bagi setiap laluan pendakian.
"Permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal bagi tujuan pendakian gunung di negeri Terengganu disyaratkan dua minggu sebelum tarikh pendakian," jelas kenyataan tersebut pada Selasa.
Bagi kegiatan aktiviti sukan lasak pula, katanya, penggiat yang melaksanakan aktiviti rekreasi lasak dalam hutan simpanan kekal juga perlu memohon permit memasuki hutan simpanan kekal daripada Pejabat Hutan Daerah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh aktiviti.
"Had daya tampung bagi aktiviti lasak ini akan ditentukan berdasarkan kepada permohonan dengan mengambil kira kawasan hutan simpanan kekal yang akan dilaksanakan aktiviti tersebut," katanya.
Jelas kenyataan itu, kelonggaran dalam aktiviti sosial, kecergasan dan rekreasi selaras dengan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 17 September lalu.
Namun, katanya, orang awam yang ingin menjalankan aktiviti dalam Hutan Simpanan Kekal perlu lengkap menerima dua dos vaksinasi Covid-19 dan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.
Dalam perkembangan sama, katanya, dua Taman Eko-Rimba di Terengganu iaitu Taman Eko Rimba Air Menderu di Kemaman dan Taman Eko-Rimba Sekayu di Hulu Terengganu akan dibuka pada 24 September dan 1 Oktober ini.
Selain itu, pusat rekreasi Lata Kolam Air Deru Ecopark di Jertih, Besut juga akan dibuka pada 24 September ini mengikut SOP yang ditetapkan.
Katanya, dua taman eko-rimba masih ditutup iaitu Taman Eko-Rimba Lata Belatan dan Taman Eko-Rimba Lata Tembakah kerana terlibat dengan pembaikan jambatan gantung yang merupakan laluan utama ke kawasan air terjun.
"Aktiviti perkhemahan (persendirian dan keluarga) dihadkan tidak melebihi 50 peratus daripada tapak khemah manakala lawatan berkumpulan berdasarkan kapasiti tidak melebihi 50 peratus kawasan dengan penjarakan fizikal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!