PGA rampas 2 tan karkas babi hutan
RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas karkas babi hutan seberat 2,000 kilogram (kg) selepas menahan seorang lelaki di Kampung Degong, Telaga Mas di sini pada Selasa.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 9 malam ketika sedang memandu sebuah van dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, selepas ditahan, anggota PGA melakukan pemeriksaan di dalam van dan menjumpai karkas babi hutan seberat 2,000kg.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM58,000.
"Kes disiasat bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan awal mendapati barangan itu akan diseludup menggunakan laluan tidak diwartakan oleh kerajaan.
"PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!