Empangan Mengkuang dibuka semula
BUKIT MERTAJAM - Empangan Mengkuang yang ditutup selama tujuh hari sebelum ini akan dibuka semula kepada orang awam sebagai kawasan rekreasi hijau mulai Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, hanya pengunjung yang dapat menunjukkan status risiko MySejahtera vaksinasi lengkap dan selamat sahaja akan dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, syarat-syarat yang sama turut terpakai untuk kemasukan orang awam ke Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar.
"Dalam konteks ini, status vaksinasi lengkap bermaksud seseorang telah menerima dua suntikan vaksinasi, selepas tempoh 14 hari suntikan kedua.
"Peraturan baharu ini turut terpakai untuk semua bakal pengunjung ke kawasan rekreasi awam lain di bawah kendalian PBAPP di Pulau Pinang termasuk Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Empangan Mengkuang yang menjadi tumpuan warga Seberang Perai untuk beriadah diarah tutup selama tujuh hari.
Keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Difahamkan, kira-kira 14 pengunjung dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti riadah di empangan itu.
Mengulas lanjut, Jaseni berkata, bagi tujuan kawalan, anggota polis bantuan PBAPP akan meminta semua bakal pengunjung untuk menunjukkan status vaksinasi lengkap pada peranti mudah alih mereka sebelum setiap kemasukan.
Jelasnya, status vaksinasi lengkap adalah syarat yang tidak boleh dirundingkan dan mereka yang gagal menunjukkan status vaksinasi lengkap tidak akan dibenarkan masuk.
Selain itu, katanya, hanya mereka dengan status risiko selamat seperti yang dipaparkan dalam halaman daftar masuk aplikasi MySejahtera akan dibenarkan memasuki premis iaitu risiko rendah dan kontak kasual.
Tambahnya, mereka yang mempunyai status tidak selamat tidak perlu mencuba untuk mengunjungi kawasan rekreasi awam yang diuruskan PBAPP membabitkan Empangan Mengkuang, Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar:
"PBAPP perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara dalam pembukaan kawasan rekreasi kepada orang ramai.
"PBAPP membuka empangannya dan Taman Bukit Dumbar sebagai khidmat awam, untuk membolehkan rakyat yang sihat yang ingin melakukan aktiviti rekreasi yang menyihatkan. Namun, kami tidak mahu menyebarkan lagi wabak Covid-19 di persekitaran Pulau Pinang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!