Bab nafkah ini, lelaki kena jalankan tanggungjawab, jangan main-main

Tanggungjawab memberi nafkah terletak atas bahu ketua keluarga iaitu suami atau bapa. -GAMBAR HIASAN.
Tanggungjawab memberi nafkah terletak atas bahu ketua keluarga iaitu suami atau bapa. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

"DUIT gaji dah masuk. Semua komitmen bulanan dah bayar. Tinggal nafkah saja belum bagi. Nak bagi siapa dulu ya?"

Persoalan itu barangkali pernah kita hadapi. Renyah untuk buat keputusan meskipun nampak mudah.

Bagaimana menurut pandangan Islam? Siapakah yang patut diutamakan?

Sebelum menjawab soalan ini, perlu difahami makna nafkah. Nafkah menurut istilah adalah perbelanjaan atau sara hidup yang dikeluarkan oleh seseorang kepada mereka yang di bawah tanggungjawabnya.

Ia bertujuan untuk membiayai kelengkapan dan hajat yang menjadi keperluan asas kehidupan seperti pendidikan, makanan, ibadah, tempat tinggal, ubat-ubatan, penjagaan anak-anak dan sebagainya.

Tanggungjawab memberi nafkah terletak ke atas ketua keluarga iaitu suami atau bapa. Antara kewajipan pemberian nafkah adalah menjaga kebajikan isteri dan anak walaupun isterinya kaya, ada duit sendiri serta mampu menanggung dirinya sendiri.

Jika berlaku perceraian sekali pun, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada dalam idah dan nafkah menguruskan anak.

Sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan ALLAH dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan ALLAH." (Riwayat Muslim, At-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad)

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan hadis itu, jelas menunjukkan seseorang muslim mendapat pahala yang lebih besar apabila memberi nafkah kepada ahli keluarganya berbanding dengan membelanjakan hartanya kepada orang lain.

Seseorang muslim mendapat pahala yang lebih besar apabila memberi nafkah kepada ahli keluarganya. -GAMBAR HIASAN.
Seseorang muslim mendapat pahala yang lebih besar apabila memberi nafkah kepada ahli keluarganya. -GAMBAR HIASAN.

Justeru, setiap suami atau bapa hendaklah memberikan komitmen dan bijak melaksanakan tanggungjawabnya. Nafkah tidak bersifat mutlak kerana kemampuan setiap orang tidak sama.

Keutamaan nafkah adalah untuk memastikan kebajikan dan keselesaan setiap ahli keluarga bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau.

ALLAH SWT tidak pernah menyulitkan hamba-Nya bahkan sentiasa memberi kemudahan buatnya.

(Sumber: Laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!