Polis buka kertas siasatan LHDN guna dokumen palsu terhadap Najib
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu kertas siasatan dibuka terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) susulan laporan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya akan memanggil semua yang terlibat untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
"PDRM mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan berkaitan laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap LHDN. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada 9 September melaporkan berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Najib di mana beliau mendakwa mempunyai bukti salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu oleh LHDN terhadap dirinya.
Najib mendakwa, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!