Buruh mengaku tidak bersalah bakar pondok polis
KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan membakar Pondok Polis Pasar Jelawat di Bachok, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api, dengan cara membakar pondok Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jelawat, Bachok pada jam 2.20 pagi pada 11 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fariz Abd Ghani, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.
Pada prosiding itu, Fariz memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Syed Muhammad Syafiq pula bagi pihak anak guamnya merayu satu jumlah jaminan yang minimum kerana tertuduh dan keluarga berdepan masalah pendapatan.
“Tertuduh masih bujang dan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM60 sehari.
“Dia turut menanggung seorang ayah yang sudah berusia dan keluarganya hadir untuk membayar jaminan pada hari ini. Anak guam saya juga tidak akan lari dan akan hadir pada tarikh sebutan semula kes,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki bermotosikal membakar Pondok Polis Pasar Jelawat, Bachok dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.
Berdasarkan keterangan awal suspek mendapati motif kerana tidak berpuas hati terhadap ketegasan polis mengambil tindakan saman terhadap orang awam yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
ARTIKEL BERKAITAN: Bakar pondok polis gara-gara tidak puas hati SOP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!