Remaja seludup beras terbabas masuk parit

Kereta jenis Proton Iswara yang dipandu remaja berusia 17 tahun terbabas ke dalam parit di Kampung Periuk Cabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, pada Rabu.
Kereta jenis Proton Iswara yang dipandu remaja berusia 17 tahun terbabas ke dalam parit di Kampung Periuk Cabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Tindakan seorang remaja lelaki dipercayai penyeludup cuba melarikan diri daripada Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan gagal apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Kampung Periuk, Cabang Empat Tok Mek Ngah, di sini, pada Rabu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 12.57 pagi itu, remaja berusia 17 tahun terbabit kemudian berjaya ditahan oleh pihaknya.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta jenis Proton Iswara dipandu suspek menjumpai beras Siam pelbagai jenis berjumlah 750 kilogram (kg) bernilai RM3,000.

“Sebelum itu, sepasukan anggota membuat tugas rondaan di Kuala Jambu sebelum terserempak dengan sebuah kereta di Kampung Kajang Sebidang.

“Menyedari kehadiran pihak anggota, pemandu kereta bertindak memecut ke arah Cabang Empat Tok Mek Ngah.

“Anggota terbabit bertindak mengekori kereta tersebut sehingga ke Kampung Periuk di Cabang Empat Tok Mek Ngah sebelum melihat kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, pemeriksaan yang dilakukan menemui beberapa kampit beras disyaki diseludup dari Thailand ke Malaysia.

“Anggota merampas barang kes dan menangkap suspek sebelum dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kereta dipandu remaja itu dianggar bernilai kira-kira RM8,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!