'Perkuat jentera kembalikan UMNO 1946'
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pusat Pro Tem UMNO 1946 akan terus memperkuatkan jentera pergerakan perjuangan mengembalikan UMNO 1946 yang telah diusahakan di seluruh negara.
Menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, pihaknya menyeru keseluruhan rakyat khususnya pemuda pemudi berbangsa Melayu untuk bersama-sama menebus kembali integriti dan maruah yang telah dikhianati oleh ahli-ahli politik yang berkepentingan peribadi.
“Kami juga ingin menyeru ahli-ahli asal yang masih setia dengan perjuangan UMNO 1946, agar berganding bahu untuk merealisasikan matlamat murni, demi bangsa, agama dan negara.
“Kami berharap, UMNO akan mendapat rahmat dan petunjuk untuk kita bersama-sama memperbaiki dan memperkukuhkan landasan perjuangan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia untuk memberi kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara,” kata jawatankuasa itu pada Rabu.
Jawatankuasa itu terdiri daripada Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, Norali Nordin, Nor Halim Hashim, Amiron Ismail dan Abdul Muiz Jaafar Thani.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyahut panggilan dan seruan rakyat khususnya bangsa Melayu yang mengharapkan ciri-ciri perjuangan asal orang-orang Melayu berlandaskan sejarah dan semangat UMNO 1946 dikembalikan dan diberi nafas baharu dalam arus gerakan perjuangan Melayu di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!