Gaji minimum semasa boleh disemak semula secara berperingkat

Tan Sri Abdul Wahid Omar
Tan Sri Abdul Wahid Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (AS$283) boleh disemak semula dan dinaikkan kerana kerajaan berkemampuan untuk menampung kenaikan itu, cadang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid yang kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata, ini dapat dilakukan secara berperingkat dalam jangka waktu tertentu untuk memberi masa yang cukup kepada perniagaan untuk merancang dengan sewajarnya.

Ini juga boleh menggalakkan mereka mempertingkatkan automasi serta memperbaiki proses dan seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk pekerja tempatan, kata beliau.

“Penting bagi semua majikan untuk memastikan pekerja mereka diberikan imbuhan yang cukup dan disediakan kemudahan yang baik selain persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

"Saya berpendapat ada ruang untuk kenaikan gaji dari masa ke masa, tetapi apa yang penting bagi kerajaan adalah menetapkan sasaran jangka panjang atau jangka pertengahan," katanya pada sidang media secara maya di luar majlis Sidang Kemuncak APAC 2021 di sini pada Rabu.

Gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100.

Abdul Wahid berkata, cadangan kenaikan gaji itu adalah selaras dengan keperluan elemen ‘sosial’ dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) atau kelestarian berdasarkan kemampuan syarikat untuk menampung kenaikan itu.

Dalam pada itu, beliau berharap agar perniagaan mengambil inisiatif untuk menawarkan imbuhan yang setimpal bagi pekerja mereka dan bukannya menunggu kerajaan mengumumkan dasar baharu mengenai gaji minimum. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!