KPM sedia kit ujian air liur untuk pelajar kembali ke asrama

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin - Foto Bernama
Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan kit ujian air liur kendiri kepada pelajar sekolah yang akan kembali ke asrama masing-masing apabila sesi persekolahan dibuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM juga akan menguruskan proses saringan ujian Covid-19 yang perlu dilakukan oleh mana-mana pelajar sebelum mereka kembali ke asrama.

“Sekiranya pelajar itu, katakanlah sekolah asrama penuhnya berada di Kuala Lumpur dan pelajar ini berada di Terengganu. Sebelum menaiki bas, kita akan kumpulkan mereka di salah sebuah sekolah asrama di Terengganu.

“Kita akan berikan kit kepada mereka untuk buat ujian saringan air liur. Sekiranya negatif, mereka boleh naik bas dan datang ke asrama.

“Jadi menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol (Datuk Salim Sharif), kerajaan menanggung untuk saringan ujian kendiri bagi anak-anak yang akan masuk ke asrama,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, bagi sekolah jenis asrama sepenuhnya, setiap pelajar perlu membuat ujian saringan tersebut sebanyak tiga kali sebelum dibenarkan masuk, manakala pelajar di asrama harian pula hanya sekali.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi membantu pihak sekolah memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, KPM turut menyediakan kit ujian air liur itu setiap sekolah di seluruh negara.

“Bagi sekolah harian, kita sediakan beberapa kit ujian sekiranya diperlukan untuk saring anak-anak yang menunjukkan gejala Covid-19 di sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!