Pemulihan negara membangun Asia dijangka terus perlahan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemulihan ekonomi di negara-negara membangun Asia dijangka terus perlahan dengan kemajuan pemulihan bergantung kepada usaha pembendungan pandemik Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan masing-masing, kata Bank Pembangunan Asia.

Pengarah Penyelidikan Makroekonominya, Abdul Abiad berkata, laluan pertumbuhan serantau adalah berbeza kerana ekonomi-ekonomi yang berjaya membendung pandemik dan aktif dengan pemberian vaksin mendapat lebih banyak manfaat berbanding yang lain.

“Pengeluaran rantau ini diunjur berkembang sebanyak 7.1 peratus pada 2021 dan 5.4 peratus pada 2022.

“Inflasi diunjur pada 2.2 peratus pada 2021 dan 2.7 peratus pada 2022,” katanya semasa pembentangan beliau pada webinar yang diadakan bersempena dengan pelancaran laporan Prospek Pembangunan Asia (ADO) 2021 pada Rabu.

Beliau berkata, dalam kes di Malaysia, lebih 40 peratus penduduk telah divaksinasikan tetapi negara masih lagi bergelut dalam menangani pandemik itu.

“Meskipun mencatatkan kemajuan dalam program vaksinasinya, negara masih tidak dapat membendung pandemik itu yang membawa kepada penularan tempatan dan seterusnya mengehadkan aktiviti kilang kepada 60 peratus,” katanya.

Pegawai kanan kerjasama serantaunya, Dulce Zara yang turut berpandangan yang sama berkata, sektor pembuatan di Malaysia dan di seluruh dunia terjejas.

“Kita melihat gangguan rantaian bekalan berlaku di mana-mana sahaja dan punca utamanya adalah disebabkan oleh varian (Delta).

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kini kita melihat ekonomi mula dibuka secara beransur-ansur,” katanya.

Zara berkata, selain Malaysia, Brunei dan Vietnam juga mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

“Tetapi apa yang penting adalah trend itu semakin menurun dan ini kerana kerajaan-kerajaan melipatgandakan usaha untuk program vaksinasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Abdul berkata, risiko tambahan lain bagi rantau ini adalah kemungkinan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global dan kegawatan kewangan-pasaran ketika dasar monetari Amerika Syarikat menjadi normal.

“Ketika ekonomi pulih daripada pandemik, risiko jangka sederhana akan kembali semula.

“Antaranya adalah bencana alam dan cuaca melampau yang berkaitan dengan perubahan iklim serta gangguan jaminan makanan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!