Berenang selamatkan diri

Tekong dan kru yang berjaya selamatkan diri.
Tekong dan kru yang berjaya selamatkan diri.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah bot nelayan mengalami kerosakan enjin dan dimasuki air di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika Utara Tanjung Lompat, di sini semalam.

Bagaimanapun dua mangsa terdiri daripada seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) sebelum itu menerima maklumat mengenai kejadian sekitar jam 10.00 malam.

Maklumat tersebut diterima daripada seorang pengadu yang juga merupakan rakan kepada mangsa.

Bertindak daripada maklumat tersebut, Op Carilamat diaktifkan pada jam 10.15 malam dan mengatur gerakan sebuah bot ke lokasi kejadian bagi tujuan mencari dan menyelamat.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, bot nelayan itu sedang belayar dari Pulau Ketam, Klang, Selangor menuju ke Endau, Pahang untuk memasuki limbungan bagi tujuan pembaikan.

“Maklumat daripada mangsa, semasa sedang belayar, enjin bot tersebut telah mengalami kerosakan mengakibatkan bot telah dimasuki air dan karam di kedudukan lebih kurang 50 meter dari pantai Hotel Tiara Desaru berhampiran Tanjung Lompat,” katanya di sini hari ini.

Aminuddin berkata, pasukan penyelamat Maritim Malaysia yang tiba di lokasi kejadian mendapati bot nelayan tersebut telah terdampar dalam keadaan separuh tenggelam berhampiran pantai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa dikenali sebagai Heng Bak Chai dan Tang Kok Chin masing-masing berusia 54 dan 62 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

“Pihak Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Pengerang telah membantu MRSC Johor dengan mengerakkan bantuan anggota melalui jalan darat dan berjaya menemui dua mangsa dalam keadaan selamat pada jam 11.30 malam.

“Mangsa telah dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk membuat laporan polis berkaitan kejadian. MRSC Johor menamatkan SAR setelah semua mangsa didapati selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!