Cadang semua pulau di timur semenanjung dibuka

Mohd Sharkar bersama Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim ketika sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
Mohd Sharkar bersama Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim ketika sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mencadangkan supaya semua sektor pelancongan khususnya pulau di seluruh timur semenanjung dibuka dalam masa terdekat memandangkan musim monsun bakal tiba.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, cadangan itu dikemukakan kerana sektor pelancongan di pulau berdepan penutupan susulan musim monsun nanti.

"Bukan hanya Pulau Tioman, tetapi pulau di timur semenanjung seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan pulau di beberapa negeri lain juga mesti dibenarkan beroperasi segera kerana hanya dalam tempoh dua bulan iaitu Oktober dan November pelancong dibenarkan datang ke kawasan peranginan itu. Pada bulan Disember hingga Mac, sektor pelancongan di kawasan terbabit ditutup disebabkan musim monsun.

"Cadangan mengenai perkara ini (pembukaan pulau) akan dikemukakan melalui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung pada petang Rabu," katanya.

Mengulas mengenai pembukaan Pulau Tioman, Mohd Sharkar berkata, pihaknya menyambut baik dan bersetuju untuk membuka gelembung pelancongan domestik di kawasan peranginan itu.

Menurutnya, sebanyak 103 bilangan hotel berdaftar dengan kapasiti 1,821 bilik dan 30 pusat selam skuba dan 88 pemandu bot bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Pahang akan terus mengawal pergerakan keluar dan masuk pelancong ke Pulau Tioman dengan membuka satu laluan masuk sahaja iaitu melalui jeti Tanjung Gemok di Rompin bagi mengelak risiko penularan Covid-19.

Selain itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan Pahang meminta beberapa lagi lokasi pelancongan di negeri itu dibuka memandangkan ada yang sudah mencapai imuniti kelompok dari 95 hingga 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh benarkanlah pelancong datang ke Taman Negara dan Kuala Tahan, Jerantut; Janda Baik, Bentong; Bukit Fraser, Raub, Kuala Gandah, Temerloh; Taman Negeri, Rompin dan Cameron Highlands.

"Lokasi pelancongan berkenaan sudah bersedia menerima kehadiran pelancong dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!