Bacaan kedua IPCC dijadual pada sidang Parlimen ini

Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Datuk Seri Hamzah Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, kementerian mengambil berat berhubung perkara itu dan tindakan segera akan dilakukan supaya pelaksanaan IPCC tidak akan mengalami penangguhan.

"...IPCC ini akan dibawa pada bacaan kedua pada sesi ini," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Rang Undang-undang IPCC itu dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Ogos tahun lepas, bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan suruhanjaya bebas dan untuk mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan menggalakkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, PDRM menerima satu laporan polis berhubung isu kehilangan barang kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berjumlah AS$6 juta, dan telah membuka kertas siasatan di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

"Kementerian ini memberi jaminan sebarang laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada," katanya.

Menyentuh mengenai kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hamzah berkata, penambahbaikan dasar-dasar melibatkan kebajikan warga polis sedia ada dilaksanakan secara berterusan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!