Badan makin berat, masa untuk ke gimnasium

No Image Caption
A
A
A

AGAK lama juga Merak Jalanan bekerja dari rumah ekoran pengumuman kerajaan tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) baru-baru ini.

Apabila mula-mula masuk kembali ke pejabat, perasaan agak canggung dan perlu ambil sedikit masa untuk membiasakan diri namun yang peliknya badan Merak Jalanan terasa segar sedikit kerana dapat bergerak ke sana sini dengan lebih kerap dalam pejabat.

Seperti biasa apabila waktu rehat makan tengah hari, Merak Jalanan dan rakan sepejabat memilih kedai makan kesukaan kami yang berdekatan dengan pejabat. Selain tempat parkir murah, menu di kedai tersebut benar-benar kami rindui.

Walaupun Merak Jalanan bukan orang Negeri Sembilan namun keenakan masak lemak cili padi telur itik kedai itu memang menambat selera. Selain itu, kedai itu turut menyajikan pencuci mulut seperti bubur kacang, goreng pisang, lempeng kelapa dan cucur bawang.

Ketika nasi di pinggan Merak Jalanan hampir habis, seorang rakan pejabat menegur fizikal Merak Jalanan yang semakin berisi bagai dipam-pam angin. Tergelak besar kami. Iyalah, masakan tidak ‘membesar’, sudahlah tidak boleh keluar ke mana-mana, kerja pula asyik duduk di meja di rumah. Selesai bekerja, duduk pula menonton di sofa seterusnya baring saja di katil.

Badan langsung tidak berpeluh tapi jumlah makan tetap sama. Merak Jalanan mengikuti perkembangan semasa di mana semua kemudahan sukan di negeri dalam Fasa 2 dan ke atas Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibuka kecuali gimnasium hanya boleh beroperasi semula selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan diwartakan.

Dalam keadaan cuaca hujan di waktu petang atau malam membuatkan aktiviti luar seperti berbasikal, jogging ataupun memanjat gunung kurang sesuai.

Pilihan paling selamat adalah menjalani latihan di gimnisium. Merak Jalanan sebenarnya tidak sabar hendak membuat latihan fizikal sebab terasa juga badan makin berat dan sukar bergerak.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan bukanlah mengimpikan lengan berotot sado ataupun perut berketak-ketak tetapi memadai jika dapat mencairkan lemak-lemak tepu dan degil di badan.

Namun ketika rancak Merak Jalanan bercerita mengenai rancangan ke gimnisium, sahabat Merak Jalanan si Osman menyampuk, "Kamu ni sebelum berangan hendak ke gimnisium elok kamu mulakan dengan berhenti ambil minuman manis dan sejuk."

"Kalau itu yang asas gagal nak buat, usah bercerita tentang burung di langit," ujarnya ringkas sambil menjeling kopi ais Merak Jalanan yang hampir habis disedut tadi.

Aduhai terasa terpukul sekali. Serentak kami semua tergelak. Impian untuk menurunkan berat badan bukan semudah berbual sahaja perlu istiqomah dan kerja keras.

Nampaknya adakah pilihan paling tepat ialah operasi kecilkan perut sahaja?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!