'Tak percaya berita negatif vaksinasi'
TEMERLOH - Rata-rata pelajar yang ditemui pada Program Vaksinasi Covid-19 Remaja peringkat Daerah Temerloh di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Razak memaklumkan mereka tidak percaya terhadap maklumat-maklumat negatif dalam laman sosial mengenai vaksinasi Covid-19,"
Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Temerloh, Nuraini Amira Mohd Shahidin, 17 berkata, dia mengambil langkah dengan mencari dan mendapatkan maklumat dari sumber sahih mengenai vaksinasi.
"Memang ada dengar banyak perkara negatif berhubung vaksinasi ini tetapi ia tidak menjadi penghalang buat saya untuk mengambil vaksinasi hari ini.
"Sebaliknya peluang untuk menerima vaksinasi hari ini menjadi satu detik yang ditunggu-tunggu, selain tidak sabar untuk kembali ke sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Reaksi sama turut diutarakan sekelasnya, Mohamad Afif Jazimin Azlee,17 yang mengalu-alukan program tersebut dalam kalangan remaja.
Menurutnya, sebarang unsur negatif mengenai vaksinasi diketepikan kerana dia sedar mengenai manfaat program tersebut.
Bagi pelajar SM Agama Al-Khairiah, Zul Akhmal Mohd Omar, 17 pula mengakui amat lega kerana penantiannya telah berakhir selepas menerima suntikan dos pertama tersebut.
"Saya tidak percaya dengan sebarang berita yang disebarkan sebaliknya ambil pendirian untuk menerima suntikan," jelasnya.
Pelajar dari sekolah sama, Ahmad Shahrul Nabil, 17 berkata, dia gembira kerana menjadi antara remaja di negeri itu yang terlibat dalam program berkenaan.
"Lagipun sudah lama duduk di rumah dan sudah tidak sabar untuk kembali ke sekolah," ujarnya.
Sementara itu, bagi pelajar SMK Temerloh Jaya, Nabila Nordin, 16 turut mengakui dia tidak takut untuk mengambil dos vaksinasi walaupun mendengar banyak berita negatif dalam pelbagai laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!