'NACP patut dimasukkan dalam MoU kerajaan-PH'
SHAH ALAM - Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel menggesa semua ahli politik agar membawa kembali Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilihat seperti tidak dihiraukan oleh pimpinan-pimpinan tertinggi.
Ujar beliau, pelan tersebut sepatutnya termasuk dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang kerana isu rasuah menjadi satu perkara yang serius.
“Ketirisan dan penyelewengan menjadi lebih serius.
Baru-baru ini kita dapat tahu bahawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun terlibat dalam isu penyelewengan dan juga curi wang rakyat dan sebagainya.
“Kita kena fikirkan macam mana kita nak membawa budaya yang lebih bagus.
“Perubahan ini kena jadi dari atas, ahli politik yang kena menjadi pemimpin untuk melaksanakan pelan NACP,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Terlaksanakah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP)’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye manakala Nurhayati Nordin bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Cynthia berkata, pertukaran kerajaan yang berlaku dari tahun 2019 menyebabkan komitmen tinggi kepada pelaksanaan NACP dilihat semakin menurun dan tidak diambil perhatian.
“Apa yang kita dapat pada tahun Februari 2020, sudah ada pertukaran (kerajaan) pertama melalui Langkah Sheraton seperti yang kita semua tahu dan juga mungkin jatuh dari segi komitmen yang tinggi kepada NACP ini sudah menjadi diturunkan kepada peringkat yang kedua, ketiga dan sebagainya.
“Jadi dalam masa tiga tahun, kita ada tiga kerajaan. Dan pada hal itu, kita tidak tahu dimana lagi (kedudukan) NACP,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!