Hujan lebat, angin kencang punca pokok tumbang sekitar Perak
IPOH - Hujan lebat serta angin kencang menyebabkan beberapa pokok tumbang yang dilaporkan di empat daerah sekitar Perak pada Rabu.
Kejadian yang bermula jam 6.30 petang hingga jam 11 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau banjir kilat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima 10 laporan pokok tumbang di sekitar Ipoh, Kampar, Manjung dan Hilir Perak.
"Anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Meru Raya, Simpang Pulai telah digerakkan ke kawasan kejadian di Taman Rapat Setia, Buntong, Jalan Raja Ashman Shah, Jalan Jelapang, Taman Perpaduan dan Persiaran Pulai Baru.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu dan Pekan Baru," katanya di sini pada Khamis.
Menurutnya, BBP Seri Manjung dan Pantai Remis juga memaklumkan kejadian pokok merintangi jalan di Jalan Lumut dan Teluk Senangin satu kes diterima oleh BBP Kampar dan Teluk Intan di Kampar Putra dan pekan Langkap.
"Bagi kesemua kejadian itu, anggota menggunakan gergaji rantai untuk memotong pokok tumbang dan mengalihkan ke tempat selamat," katanya.
Katanya, operasi turut dibantu polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!