Manchester United gagal kekal rentak kemenangan ke atas West Ham
HASRAT Manchester United meneruskan rentak kemenangan ke atas West Ham United tidak kesampaian apabila tewas 0-1 dalam perlawanan Piala Liga di Stadium Old Trafford awal pagi tadi.
Jaringan Manuel Lanzini pada minit kesembilan babak pertama sudah cukup membolehkan anak buah David Moyes menebus kekalahan 1-2 di Stadium London kepada lawan sama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.
Pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer yang melakukan 11 pertukaran bagi berdepan West Ham hampir menyamakan kedudukan menerusi Juan Mata.
Namun percubaan pemain berasal dari Sepanyol itu terkena palang manakala Anthony Martial pula gagal mengambil peluang dalam salah satu daripada 27 percubaan tuan rumah pada perlawanan tersebut.
Kemenangan pertama The Hammers ke atas The Red Devils di Old Trafford sejak 2007 menyaksikan kelab London tersebut bakal berdepan penyandang juara Manchester City pada pusingan berikutnya.
Kekalahan itu juga menyaksikan hasrat Solskjaer untuk mendakap salah satu kejuaraan domestik liga Inggeris musim ini sebagai pengendali Manchester United sekali lagi tertangguh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!