Politik kaum punca Cina tolak BN
PUCUK pimpinan UMNO perlu bertanggungjawab punca pengundi Cina masih kekal menyokong PH dalam PRK DUN Semenyih baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Institute of Strategic Analysis and Policy Research (Insap), Pamela Yong, kekurangan sokongan pengundi Cina yang diberikan kepada BN disebabkan kenyataan tidak sensitif dan bersifat perkauman yang dibuat oleh pimpinan tertinggi UMNO ketika berkempen.
"Pengundi Cina di Semenyih menolak kenyataan perkauman dan bersifat menghasut yang dibuat oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz terhadap kaum Cina dan etnik minoriti lain di sekolah-sekolah vernakular (Cina dan Tamil) serta kenyataan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa 'terdapat ramai penumpang di Parlimen' semasa tempoh kempen di Semenyih,” katanya.
Bagaimanapun, daripada keputusan yang diperoleh, salah satu punca BN boleh memenangi PRK itu ialah sebanyak 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti 70 peratus pengundi Melayu, semuanya memihak kepada BN.
“Berbanding PRU14 lalu, BN hanya memperoleh 35 peratus undi Melayu daripada 17 PDM berkenaan,” katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.
Menurut Pamela yang juga Timbalan Ketua Wanita MCA Sabah, dalam PRK DUN Semenyih ini, pengundi Melayu telah menyampaikan mesej yang jelas iaitu tidak berpuas hati dengan prestasi PH sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada BN.
“Walaupun dalam tempoh kempen PRK, kerajaan PH telah mengumumkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM100 kepada golongan bujang dan pelajar universiti serta cadangan pemansuhan tol di empat lebuh raya, namun ia tidak sedikit pun mendatangkan sebarang kelebihan kepada PH,” katanya.
Kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina berbanding pada PRU14 lalu turut jelas disebabkan ramai daripada mereka kecewa terhadap PH.
"Keputusan di PDM Kampung Baharu Semenyih yang mempunyai 82 peratus pengundi Cina menunjukkan BN berjaya meraih 13.1 undi berbanding dengan 12.1 peratus pada 2018,” beritahunya.
Selain itu, jelasnya, punca-punca lain yang mendorong kekalahan PH ialah pemilihan calon yang tidak tepat, gagal mengatasi masalah kemelesetan ekonomi negara seperti yang dijanjikan dalam PRU14.
"Sebaliknya pemimpin-pemimpin PH lebih banyak menghabiskan masa dan sumber ke atas pergeseran dalam politik," jelasnya lagi.
UMNO, Pas berjaya bawa suara Melayu UMNO dan Pas telah berjaya memainkan peranan dengan mencetuskan perasaan kurang senang hati dan ketakutan kepada pengundi Melayu sehingga membawa kejayaan kepada mereka.
Menurut penganalisis politik, Tan Ah Chai, kedua-dua pemimpin parti telah berkali-kali menimbulkan dakwaan bahawa kedudukan orang Melayu semakin tercabar dan kedudukan Islam semakin tidak dihormati di bawah pemerintahan PH.
“Apabila isu-isu ini ditimbulkan dan ditambahkan lagi majoriti orang Melayu yang tidak puas hati dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, akhirnya perasaan itu semakin tidak terkawal sehingga menyebabkan PH kalah pada PRK DUN Semenyih ini,” kata Ah Chai seperti dilaporkan dalam Sin Chew Daily.
Beliau berpendapat, apa yang tersirat dalam PRK berkenaan ialah Malaysia sudah tidak lagi menerima kepelbagaian dan keterbukaan apabila politik berasaskan perkauman serta agama semakin hari semakin mendapat kedudukan.
“Sebagai contoh, apabila Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa kerajaan PH kini dikuasai DAP, mesej ini sudah tentu diresapi dan dipercayai oleh masyarakat Melayu terutama sekali dalam kalangan penduduk luar bandar, apatah lagi kedudukan ekonomi mereka masih berada di tahap yang kurang memuaskan,” katanya.
Memandangkan strategi itu mendatangkan kejayaan kepada BN, Ah Chai berkata, UMNO dan Pas pastinya akan mengulangi untuk terus bekerjasama kerana mereka percaya ia mampu meraih sokongan terutama sekali daripada kalangan pengundi Melayu.
“Saya percaya dalam PRK DUN Rantau ini, UMNO dan Pas akan terus kerjasama dan gunakan formula sama seperti dalam PRK DUN Semenyih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!