Kerajaan perlu teliti penggunaan MyTravelpass
KOTA BHARU - Kerajaan perlu meneliti kembali manfaat dan kepentingan penggunaan sistem MyTravelpass kepada negara untuk jangka masa panjang.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, kerajaan seharusnya tidak merumitkan rakyat dengan pelaksanaan sistem yang sebegitu sekiranya ia membebankan.
"Kita masih boleh mengawal aktiviti keluar masuk rakyat dalam negara walaupun tidak menggunakan sistem MyTravelpass tambahan pula rakyat Malaysia bukan tergolong dalam kategori mereka yang bermasalah di luar negara.
"Jadi saya rasa lebih baik kerajaan kaji semula sejauh mana keberkesanannya supaya ia lebih bersifat mesra dan mudah kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Jabatan Imigresen diminta mengkaji semula kategori permohonan keluar negara yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan orang ramai mengenai program MyTravelPass.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, setiap mereka yang ke luar negara mempunyai alasan dan tugas mereka sendiri, sekiranya sekatan perjalanan rentas sempadan ini terlalu rumit, maka ia akan menyusahkan rakyat serta kerajaan secara langsung.
"Pihak berkuasa masih boleh menggunakan keadaan lain untuk mengawal keluar masuk rakyat dalam negara tambahan lagi melibatkan mereka yang bukan warganegara Malaysia.
"Kita faham fokus untuk menjaga keselamatan negara amat penting, cuma kaedahnya masih boleh ditambah baik bukan hanya bergantung kepada MyTravelpass semata-mata,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!