Polis buka kertas siasatan terhadap Vie Shantie
BENTONG - Polis Bentong telah membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan seorang pemilik akaun Instagram, Vieshantiekhan yang memuatnaik status di laman sosial tersebut mengatakan tidak memerlukan surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, satu laporan polis telah dibuat pada Rabu berkaitan status yang telah dimuatnaik di Instagram milik wanita tersebut yang memaparkan gambarnya sedang beriadah di Rimba Valley di Janda Baik.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Selasa kira-kira jam 9.55 pagi melibatkan kenyataan yang tular dimuat naik seorang wanita berusia 35 tahun mengatakan 'Tidak perlu surat di Plaza Tol Gombak masih lagi sempadan Selangor yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya'.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden itu.
"Susulan itu, pihak polis menafikan kenyataan mengelirukan oleh individu terbabit yang menyatakan tidak perlu surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik.
"Kes disiasat di bawah Perkara17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikompaun RM5,000," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Status wanita terbabit yang juga seorang usahawan dan bekas isteri kepada pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof dipertikaikan oleh netizen.
Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut.
Ujarnya, orang ramai perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Sebarang aktiviti bertentangan dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk penyalahgunaan permit rentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!