Rangka mayat 800 tahun ditemui bersama makanan, alat muzik
LIMA - Para pekerja sebuah syarikat paip gas Peru menemui lapan rangka mayat berusia kira-kira 800 tahun lalu yang ditanam bersama makanan dan peralatan muzik, kata seorang ahli arkeologi pada Rabu.
Rangka-rangka mayat itu ditemui dibungkus bersama jagung dan pelbagai peralatan muzik ketika pekerja melakukan kerja-kerja penggalian.
Lapan rangka mayat itu dipercayai milik penduduk yang tinggal di bandar purba, Chilca terletak kira-kira 60 kilometer ke selatan Lima.
Sebahagian rangka mayat itu ditemui bersama kerang-kerangan dan beg tangan yang mengandungi daun koko.
Menurut ahli arkeologi itu, Cecilia Camargo yang diupah oleh syarikat gas Callida berkata, penemuan tersebut penting kerana ia memberikan maklumat tentang kehidupan sejarah purba Chilca. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!