Bot karam: Identiti dua mangsa dikenal pasti
TENOM - Identiti dua mangsa yang khuatiri lemas akibat dibawa arus selepas bot yang dinaiki mereka karam di Sungai Padas, Kampung Kalandos, Pangi, di sini sudah dikenal pasti.
Mangsa dikenali sebagai Joseph Sayah, 55 dan Melvin Junaidi, 12 itu sehingga kini masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, operasi SAR bagi mencari kedua-dua mangsa dimulakan jam 8 pagi pada Khamis.
"Operasi SAR membabitkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta unit pengesan K9 (anjing pengesan) dengan dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Setakat ini, kedua-dua mangsa belum ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum itu, Misran memaklumkan, bahawa kawasan kejadian hanya boleh diakses menggunakan kereta api sahaja yang mengambil masa hampir sejam perjalanan sekali gus menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, dua mangsa yang hilang itu tiada sebarang hubungan.
"Mangsa yang hilang tiada hubungan apa-apa cuma mereka tinggal sekampung," katanya.
Dalam kejadian pada Rabu, dua mangsa terselamat manakala dua lagi dikhuatiri lemas ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Pekan Tenom dengan menaiki bot.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!