Swasta, awam digesa bekerjasama cepatkan peralihan ekonomi
KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru agar sektor swasta dan awam bekerjasama untuk memastikan peralihan yang saksama dan pantas ke ekonomi karbon sifar bersih.
Tengku Zafrul berkata, adalah penting untuk mula menangani risiko yang dicetuskan oleh perubahan iklim yang beliau sifatkan sebagai "cabaran terhebat manusia".
"Dalam peralihan ke ekonomi yang berdaya tahan iklim, tidak ada mana-mana kerajaan yang mampu menggalasnya secara sendirian. Tekanan fiskal tambahan dijangka besar disebabkan oleh kos peralihan," katanya ketika berucap pada majlis edisi ketiga Sidang Kemuncak The Cooler Earth (TCE) Sustainability 2021 CIMB yang diadakan secara maya hari ini.
Pakar iklim pula katanya, sudah memulakan membicarakan mengenai pelepasan negatif bersih kerana mencapai sifar bersih sahaja tidak lagi memadai.
Tengku Zafrul berkata, ini memerlukan pengurangan pelepasan secara dalaman (in-house) sebanyak mungkin, termasuk menguasai karbon menerusi kedua-dua teknologi penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan 'pelepasan negatif',
"Oleh itu, penting untuk kita segera memulakannya,” tambah beliau.
Menteri kewangan itu turut menambah untuk perniagaan, perubahan iklim menimbulkan risiko yang besar terhadap keuntungan.
“Selain itu, ketika orang ramai kini lebih terbiasa dengan kebimbangan terhadap persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), kepenggunaan dan aktivisme pelabur adalah berdasarkan bukan sahaja kepada apa yang dijual oleh perniagaan tetapi juga bagaimana perniagaan itu beroperasi," katanya.
Sebagai contoh, beliau menyebut kaji selidik yang dilakukan oleh The Economist tahun lepas yang menunjukkan 87 peratus daripada pelabur muda percaya kejayaan korporat harus diukur lebih berbanding prestasi kewangan.
Tengku Zafrul turut memuji usaha yang dilakukan oleh Bursa Malaysia dalam memperkenalkan syarat pelaporan kelestarian untuk syarikat tersenarai.
"Saya ingin mengulangi pentingnya perniagaan untuk mula memperhitungkan nilai ESG dalam operasi mereka, begitu juga pembekal dan rakan dagang untuk mengamalkan standard yang sama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sektor kewangan juga memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penerapan amalan perniagaan lestari dengan mengutamakan pembiayaan dalam bidang berkenaan.
Beliau turut menjelaskan, di peringkat global lebih daripada 45 peratus industri perbankan global, termasuk penganjur sidang kemuncak ini iaitu CIMB Group telah menandatangani Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Saya menggesa lebih banyak institusi kewangan untuk ikut serta dan menjadi sebahagian daripada komitmen global ini," katanya.
Sidang Kemuncak TCE anjuran CIMB ini akan berlangsung dari 23-27 Sept, 2021 dengan bertemakan “Align, Act, Accelerate”. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!