Sungai Batang Kali berpotensi jadi 'Sungai mati'

Sungai Batang Kali di sini yang pada ketika ini dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih, dikatakan semakin 'ditekan' pencemaran akibat pelbagai aktiviti manusia sehingga menjejaskan kelestarian ekosistemnya. - Foto Bernama
Sungai Batang Kali di sini yang pada ketika ini dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih, dikatakan semakin 'ditekan' pencemaran akibat pelbagai aktiviti manusia sehingga menjejaskan kelestarian ekosistemnya. - Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Sungai Batang Kali di sini yang pada ketika ini dikategorikan sebagai Kelas 2 air bersih, dikatakan semakin 'ditekan' pencemaran akibat pelbagai aktiviti manusia sehingga menjejaskan kelestarian ekosistemnya.

Bukan sahaja air sungai semakin keruh, hidupan di dalamnya, terutama ikan kelah, tengas, sebarau dan baung yang dahulu banyak didapati di sungai berkenaan, juga didakwa semakin sukar ditemukan.

Tidak mustahil sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer di laluan ke Genting Highlands yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah pada hujung minggu itu mengalami pencemaran lebih buruk dalam masa terdekat, sekiranya usaha pemeliharaan dan pemuliharaan tidak dilakukan dengan segera oleh pihak berwajib.

Penduduk di kawasan tersebut percaya aktiviti penternakan ikan tilapia merah untuk tujuan komersial yang bertapak di situ sejak lebih 10 tahun lalu, serta beberapa projek pembangunan yang tidak mengikut prosedur sewajarnya di sekitar sungai berkenaan adalah antara punca utama pencemaran itu.

Majoriti penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli suku Temuan, mendakwa kualiti air sungai merosot teruk dan mereka kini berdepan kesukaran untuk terus bergantung hidup pada sungai berkenaan.

“Kami memang tidak puas hati dengan projek penternakan ikan, ladang musang king dan projek pembangunan chalet ‘kayangan’ yang menyebabkan sungai ini tercemar. Dulu air sungai ini jernih dan kami jadikan ia lubuk rezeki.

“Tetapi sekarang ini tidak lagi, sebab ikan sungai sudah kurang akibat air yang semakin kotor. Kami masyarakat Orang Asli pun sudah tidak boleh lagi cari rezeki buru ikan sebab memang susah nak dapat.

“Pernah satu hari menjala, seekor ikan pun tidak dapat. Kalau dapat pun, berbau sangat hanyir sebab sisa daripada kumbahan penternakan ikan tilapia merah di hilir sungai ini,” kata Lee Ropah, 42 kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Umpama dua darjat

Tidak mahu dianggap hanya ‘bercakap kosong’, Lee yang tinggal di Kampung Orang Asli Songkok, membawa wakil Bernama yang membuat liputan di situ baru-baru ini ke kawasan hilir sungai yang menjadi pertemuan di antara Sungai Tamu dan Sungai Batang Kali, bagi melihat sendiri impak pencemaran tersebut.

Tinjauan Bernama mendapati rungutan Lee itu ada kebenarannya, berdasarkan perbezaan warna air di kedua-dua batang sungai tersebut.

Umpama dua darjat, itu yang boleh disimpulkan sebaik kaki menginjak tanah di tebing sungai tersebut. Manakan tidak, dari jarak kami berdiri di tebing Sungai Batang Kali iaitu kira-kira 30 meter, kami dapat melihat dengan jelas kejernihan Sungai Tamu sehingga menampakkan dasar sungai yang berpasir, berbanding Sungai Batang Kali dengan air berlumut, keruh dan kehitaman selain dasarnya langsung tidak kelihatan.

“Dulu, Sungai Batang Kali lagi jernih daripada Sungai Tamu. Jadi, bayangkanlah betapa jernihnya air Sungai Batang Kali, tapi sekarang sudah tiada lagi. Kalau dulu, air keruh selepas hujan akan kembali jernih selepas satu jam.

“Sekarang, akibat hakisan daripada projek pembangunan dan penternakan ikan, air keruh selepas hujan ambil masa empat hingga tujuh jam untuk kembali jernih tapi tidaklah sejernih dulu sebab dah tercemar. Kami dah lama terseksa dan sangat berharap pihak berkuasa datang pantau keadaan sungai ini dan hentikan projek yang merosakkan sungai,” katanya.

Turut menyuarakan pandangan serupa dan kesal dengan apa yang berlaku, anak muda masyarakat Melayu, Syawal Idris, 32, yang menetap di Kampung Kuantan. Beliau mengharapkan pembangunan tidak lestari di sekitar sungai berkenaan diambil perhatian jitu pihak berwajib bagi mengelakkan ia menjadi ‘sungai mati’.

“Selama 32 tahun saya di sini, memang nampak sangat ketara perubahan kualiti air Sungai Batang Kali. Dulu, kami penduduk kampung selalu mandi-manda, basuh baju, berkumur air sungai tapi sekarang tidak lagi sebab kotor,” katanya.

Bernama difahamkan ada penduduk kampung yang mengalami gatal-gatal selepas mandi di sungai tersebut dan apabila digaru, kawasan tersebut membengkak serta kemerahan, menyebabkan tiada siapa yang berani mandi di hilir sungai itu.

Sumber Air Selangor

Projek penternakan ikan yang beroperasi di hilir sungai tersebut sejak 12 tahun lepas, telah menyebabkan kawasan berkenaan tercemar teruk berbanding hulu Sungai Batang Kali yang terletak di Genting Highlands, menyebabkan orang ramai dari luar lebih bertumpu di hulu sungai untuk aktiviti rekreasi.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini hulu sungai juga turut terancam berikutan pembangunan chalet ‘kayangan’ dan projek syarikat terkenal yang tidak lestari sehingga berlakunya hakisan tanah, sekali gus memburukkan lagi pencemaran sungai tersebut.

Turut terkesan dengan pencemaran itu ialah pengusaha Rosyabillah Chalet, Nor Nabila Rosli, 26, yang merupakan antara chalet terawal beroperasi di situ, apabila ramai pelanggannya mengadu tentang kekeruhan air sungai berkenaan berbanding dua tahun sebelum ini.

Kebimbangan penduduk setempat itu ada kewajarannya memandangkan pencemaran sungai tersebut bukan hanya menjejaskan penduduk lima buah kampung di sekitar sungai, iaitu Kampung Kuantan, Kampung Genting Malek, Kampung Sungai Masin, Kampung Orang Asli Songkok dan Kampung Orang Asli Hulu Tamu, tetapi juga penduduk di Selangor amnya.

Ini kerana menurut wakil penduduk Orang Asli di Batang Kali, Datuk Rosli Mohamed Khamis, Sungai Batang Kali yang bercantum dengan Sungai Liam dari Hulu Yam Lama dan bersambung dengan Sungai Selangor yang mengalir hingga ke Bukit Beruntung, merupakan antara sumber air bersih bagi penduduk, khususnya di Hulu Selangor.

“Bayangkan, selama 12 tahun mereka bertapak, bagaimana dengan begitu mudah membuang air kolam ke sungai apabila menuai hasil ternakan? Sebabnya, mereka tiada kolam takungan sementara atau pusat rawatan air kumbahan sebelum dilepaskan ke sungai.

“Ini isu alam sekitar. Mana Jabatan Alam Sekitar, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), Pejabat Tanah Daerah dan Galian, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan yang lain berkaitan dengannya? Tidak ada pemantauankah?” soal Rosli.

Pembangunan tanah sendiri

Bernama turut dipertontonkan rakaman video yang diambil menggunakan dron, memaparkan kawasan hutan yang didakwa digondolkan oleh seorang pengusaha chalet terkenal, dan dipercayai kawasan tarahan itu seluas enam hektar hingga ke rizab sungai, manakala tebing sungai pula ditambak dengan konkrit, kononnya bagi mencantikkan landskap kawasan pelancongannya.

Paling mengejutkan, batu-batu besar di dalam sungai yang menjadi penampan apabila hujan lebat, telah dialihkan ke tebing sungai.

“Selain daripada pengusaha chalet kayangan ini, ada juga beberapa pengusaha chalet lain tetapi mereka beroperasi secara kecil-kecilan. Kami tidak ada masalah sekiranya pengusaha chalet ini dan juga projek syarikat terkenal tersebut hendak buat pembangunan sebab itu tanah mereka.

“Tetapi, tanah sendiri tidak bermaksud boleh buat pembangunan sesuka hati sehingga menghapuskan rizab sungai yang telah ditetapkan undang-undang. Janganlah sampai merosakkan ekosistem sungai yang memberi kesan kepada penduduk kampung,” keluh beliau.

Aduan tidak diterima

Menurut Rosli, beliau dan pengusaha chalet kecil-kecilan di kawasan terjejas telah mengemukakan aduan kepada pihak sewajarnya, namun tiada tindakan diambil.

Ini kata Rosli menimbulkan prasangka berlaku penyelewengan dalam pengurusan agensi kerajaan di daerah itu.

“Siapa yang berikan kebenaran untuk keluarkan batu sungai dari perut sungai, tarah hingga habis rizab sungai dan konkritkan tebing sungai? Yang saya tahu, setiap projek mesti ada kelulusan, surat kebenaran dan bukan semudah itu pihak jabatan berkaitan boleh berikan kebenaran.

“Memang ada pihak JPS buat operasi di situ, tetapi projek tetap berjalan, ini yang kami pelik dan persoalkan kerana ia sekadar seolah-olah cukupkan syarat saja,” katanya.

Mengulas mengenai isu pencemaran Sungai Batang Kali, Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Damien Thanam Divean berkata, pihaknya ada menerima aduan berserta gambar bukti yang menunjukkan penerokaan tanah secara berleluasa di puncak bukit Batang Kali.

Selain itu, pihaknya turut menerima gambar-gambar kawasan kolam ternakan ikan tilapia merah seluas 10 ekar di tepi tebing sungai serta penerokaan tanah yang rakus untuk projek tanaman organik oleh syarikat terkenal di kawasan berdekatan.

Beliau berkata kesan daripada aktiviti penerokaan tanah yang rakus dan aktiviti pembuangan air kumbahan daripada kolam ternakan ikan yang berlaku 24 jam secara berterusan, telah menyebabkan bahagian hilir Sungai Batang Kali begitu kotor, berlumut dan tercemar hingga tidak boleh digunakan lagi oleh penduduk setempat.

“Sesiapa juga pemilik tanah sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap alam semula jadi dan sekitarnya bagi memastikan garis panduan yang ditetapkan JPS serta Pejabat Tanah dan Galian dipatuhi sebaiknya sekalipun itu adalah tanah miliknya.

“Tarahan hingga ke rizab sungai adalah satu kesalahan yang tidak boleh dikompromi dengan hanya membayar denda minimum berbanding kerosakan yang telahpun berlaku,” katanya.

Keadaan itu katanya memberi kesan yang dahsyat kepada ekosistem alam sekitar, antaranya menjadikan air sungai lebih deras dan berbahaya kepada pengunjung dan pengguna sungai apabila berlaku kepala air, berikutan tiada halangan batu besar yang telah dialihkan ke tebing.

Selain itu, hakisan tebing juga akan semakin cepat berlaku, sekali gus meningkatkan keberangkalian kejadian tanah runtuh.

“Keberadaan batu yang besar di dalam sungai amat penting untuk menggalakkan pembiakan ikan di celah-celah batu. Apabila aliran air semakin deras, proses pembiakan ikan akan turut terjejas kerana air sungai yang semakin dalam dan deras.

“Ini menyebabkan pelbagai spesies ikan di Sungai Batang Kali semakin berkurangan terutama spesies ikan terlindung seperti kelah,” katanya.

Sensitif

Selain itu, beliau berkata hakisan tebing sungai tersebut masih lagi boleh berlaku walaupun telah disimen berikutan aliran sungai adalah 24 jam sehari, tidak pernah terhenti, sekali gus berisiko berlakunya mendapan dan keruntuhan tebing sungai.

Apatah lagi Sungai Batang Kali beraliran pantas dan struktur konkrit tersebut pula hanya mampu bertahan untuk satu tempoh tertentu sahaja dan berisiko terhakis sedikit demi sedikit.

“Sungai ini bermula dari kaki gunung Genting Highlands yang menjadi kawasan tadahan hujan. Kawasan tadahan hujan diwartakan apabila sesuatu kawasan itu mempunyai hutan hujan khatulistiwa yang semula jadi dan dapat menghasilkan awan untuk taburan hujan yang akan mengalir menjadi sungai.

“Hutan hujan khatulistiwa juga memastikan tanah tidak menjadi lemah kerana menyimpan air yang banyak. Air ini akan disebarkan sebagai awan hujan yang akan ditiup ke kawasan lain dan turun semula sebagai hujan dan mengairkan sungai-sungai seperti Sungai Batang Kali.

“Proses ini akan diulang tanpa henti, tetapi jika sesuatu kawasan berhutan ditebang untuk pembalakan, perladangan atau pembangunan, proses ini akan terganggu dan boleh menyebabkan kecelakaan dalam bentuk bencana alam seperti tanah runtuh, kepala air, banjir lumpur, sungai yang menjadi cetek atau terus kering,” katanya.

Justeru, beliau berkata adalah penting kerajaan negeri Selangor mengkaji semula pemilikan tanah persendirian kawasan sensitif alam seperti di hutan Sungai Batang Kali itu. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!