Sisa pepejal domestik meningkat di Pahang

Sharudin dan pasukan pembersihannya mengangkat slogan Keluarga Malaysia cintakan kebersihan selepas mengadakan tinjauan di Pantai Kempadang pada Khamis.
Sharudin dan pasukan pembersihannya mengangkat slogan Keluarga Malaysia cintakan kebersihan selepas mengadakan tinjauan di Pantai Kempadang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kutipan sisa pepejal domestik di seluruh Pahang meningkat sebanyak tujuh peratus tahun ini susulan pembukaan lokasi peranginan dan kawasan riadah sejak awal bulan lalu.

Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, berdasarkan rekod, penghasilan janaan sisa pada tahun ini adalah sebanyak 190,764 tan berbanding 177,443 tan tahun lalu.

Menurutnya, pertambahan itu juga disebabkan pembukaan sektor ekonomi seperti kedai makanan dan restoran sudah kembali beroperasi.

"Kita menjangkakan berlaku peningkatan dan anggaran peningkatan janaan sampah setakat ini sekitar 13,000 tan berbanding pada Januari hingga Ogos tahun lalu.

"Peningkatan itu juga disebabkan terdapat banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat seperti riadah dan kawasan rehat mula dibuka secara tidak langsung maka akan bertambah pembuangan sampah,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhirnya tinjauan lokasi peranginan di Pantai Kempadang Kuantan pada Khamis.

Sharudin berkata, kutipan sampah di kawasan peranginan masih berada dalam keadaan terkawal dan tiada limpahan sisa buangan berlebihan.

Katanya, walaupun kehadiran pengunjung semakin ramai setiap hujung minggu, namun tahap kebersihan terutama kawasan pantai masih dapat dikekalkan.

“Anggaran sampah dikutip di kawasan pantai atau tempat pelancongan meningkat sekali ganda daripada biasa namun kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah adalah terkawal.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, pekerja pembersihan digerakkan untuk memastikan kawasan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan jadual yang ditetapkan," ujarnya.

Tambah beliau, terdapat 10 lokasi pantai khususnya di daerah Kuantan yang berada di bawah selenggara Swcorp antaranya Pantai Chendor, Cherating, Pelindung, Gelora, Balok, Batu Hitam, Teluk Cempedak, Sepat, Tanjung Lumpur dan Kempadang.

Menurutnya, tinjauan turut dilakukan unit khas Swcorp bagi memberi kesedaran orang awam terhadap kebersihan.

Katanya, setakat ini, kesedaran orang ramai agak tinggi dan mereka masih mengamalkan sikap prihatin dan menguruskan sisa buangan dengan baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!