3,500 pelajar di Pulau Pinang diberi janji temu terima vaksin
GEORGETOWN - Seramai 3,500 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun dari sembilan sekolah seluruh Pulau Pinang diberi janji temu untuk menerima suntikan vaksin melibatkan enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada Khamis.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan perangkaan terkini Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) merekodkan seramai 37,000 pelajar berada dalam lingkungan usia berkaitan.
Menurutnya, rekod Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan remaja berusia 16 hingga 17 tahun (pelajar dan bukan pelajar) di negeri ini adalah seramai 43,000 orang manakala mereka yang berumur antara 12 hingga 15 tahun 93,000 orang.
"Mengikut data JKNPP, seramai 780 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun beralamat tetap di negeri ini dan pelajar berasrama penuh di luar Pulau Pinang telah berjaya menerima suntikan vaksin. Kesemua proses berjalan dengan lancar yang mana janji temu diberikan menerusi aplikasi MySejahtera pada Rabu.
"Bagi golongan pelajar (tanpa komorbid), janji temu vaksinasi adalah menerusi aplikasi MySejahtera membabitkan enam PPV sebagaimana diumumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Kon Yeow berkata, berdasarkan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu juga juga, hanya remaja dan pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta dan remaja tidak bersekolah (bukan pelajar) dibenarkan walk-in bermula pada Khamis di empat PPV.
Jelasnya, empat PPV terbabit ialah PPV SPICE Convention Centre; PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya; PPV Dewan Perda Convention Centre dan PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap.
Tambahnya proses untuk walk-in di kesemua PPV itu bermula pada jam 2 petang.
"Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, proses vaksinasi telahpun bermula menerusi janji temu di aplikasi MySejahtera di hospital-hospital terdekat berdasarkan alamat tempat tinggal para penerima," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!