67 PATI baru tiba di Malaysia ditahan

Tongkang yang membawa PATI sehingga ke Jeti Parit Karang, Tangkak di sini pada Rabu.
Tongkang yang membawa PATI sehingga ke Jeti Parit Karang, Tangkak di sini pada Rabu.
A
A
A

MUAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi di Jeti Parit Karang, Tangkak di sini pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Superintendan Rozasin Ramlan berkata, operasi yang turut melibatkan pasukan Polis Marin Muar (PPM) itu dilakukan pada jam 6.30 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka baru mendarat dari negara jiran dan masuk ke Malaysia menggunakan tongkang melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"PATI yang ditahan ini terdiri daripada 44 lelaki dan 22 perempuan dewasa serta seorang bayi perempuan. Mereka semuanya berumur antara satu tahun hingga 53 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, susulan itu PGA dan PPM menahan seorang lelaki dewasa tempatan disyaki tekong darat yang dipercayai sedang menjalankan khidmat pengangkutan darat kepada PATI yang baru mendarat.

"Turut ditahan bersama tekong itu ialah seorang lelaki dewasa warga asing dalam kenderaan tersebut dipercayai sebagai penumpang," katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas satu bot berukuran 36 kaki bersama satu kenderaan dan dua telefon bimbit.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Mirgan 2007.

"Jumlah anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM202,000. Semua PATI dari negara jiran itu masuk ke Malaysia dengan menggunakan bot tongkang melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

"Mereka diuruskan oleh tekong darat dari Tanjung Balai, Indonesia dengan anggaran bayaran RM1,000 hingga RM 2,800 setiap seorang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!