Penuntut IPTA ditahan terlibat sindiket edar dadah

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di tepi Jalan Alamanda 2, Presint 1 Putrajaya pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Sahar Abdul Latif berkata, suspek merupakan warga asing berumur 29 tahun.

Menurutnya, menerusi operasi yang dijalankan pada jam 6.35 petang, suspek cuba melarikan diri ketika pemeriksaan, namun berjaya diberkas pihak polis.

"Pemeriksaan yang dijalankan menemui dadah dipercayai cecair kanabis seberat 0.20 kilogram.

"Ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sahar Abdul Latif berkata, siasatan dijalankan mendapati cecair kanabis ini digunakan dengan cara mengisi cecair tersebut di dalam rokok elektronik (vape).

"Ia mendapat permintaan yang tinggi di kalangan rakan-rakan rapat suspek dan urusan jual beli dijalankan melalui media sosial.

"Cecair ini boleh memberi kesan yang mengkhayalkan seperti penggunaan dadah jenis ganja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!