Sidang DUN Melaka kecoh
MELAKA - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari terakhir kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan ADUN DAP.
Pertikaman lidah berlaku apabila Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (DAP-Kota Laksmana) berhubung kesan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ) terhadap nelayan Pantai Kundor.
Norhizam yang juga Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau sentiasa prihatin dengan nasib nelayan namun perlu melihat terlebih dahulu hasil laporan Penilaian Impak Perikanan (FIA) di kawasan terbabit.
Norhizam yang pernah digelar 'YB Gangster' kemudian menggelarkan dirinya sebagai 'laksamana laut' dan menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terbukti projek berkenaan mendatangkan impak negatif kepada laut, nelayan ataupun mata pencarian menerusi laporan teknikal FIA yang akan diterima nanti.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Chee Leong lantas bangun dan menempelak mahu supaya laporan FIA segera dibentangkan.
Bagaimanapun Norhizam menjelaskan, beliau tidak dapat membentangkan FIA tersebut kepada dewan kerana belum menerima laporan daripada pihak berkenaan.
Kekecohan dalam DUN berlanjutan selama hampir empat minit dan keadaan semakin gamat apabila Chee Leong menggelarkan Norhizam sebagai pengkhianat dan penderhaka Pakatan Harapan sebelum dibalas oleh Norhizam dengan perkataan yang kurang sopan.
Situasi itu menyebabkan Timbalan Speaker DUN Melaka, Datuk Ghazale Muhamad beberapa kali meminta kedua-dua wakil rakyat itu bertenang dan menghormati peraturan dewan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!