Pentadbir eksekutif rugi RM62,300 diperdaya pelaburan tidak wujud
KUALA LUMPUR - Seorang pentadbir eksekutif di sebuah syarikat swasta kerugian RM62,300 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 25 tahun itu telah berkenalan dengan seorang wanita tempatan melalui Facebook pada 8 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, selepas beberapa hari berkenalan suspek menawarkan peluang membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah bersetuju untuk melabur.
"Mangsa telah diberikan link dan akses untuk membuat urusan pendaftaran dan transaksi di laman web berkenaan.
"Mangsa telah membuat transaksi pertama sebanyak RM1,000 dan kemudiannya menerima wang pulangan 10 peratus sepertimana yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, selepas itu suspek mengajak pula mangsa untuk melabur dengan jumlah yang lebih besar.
"Atas arahan suspek, mangsa telah membuat transaksi ke beberapa akaun bank," katanya.
Mohd Mahidisham berkata, setelah memperoleh keuntungan dan bonus yang dijanjikan, mangsa kemudiannya ingin membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburan tersebut.
"Namun begitu, mangsa diberitahu dia perlu melalui pemeriksaan keselamatan kerana melibatkan jumlah wang yang banyak.
"Mangsa kemudiannya mengesyaki telah ditipu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Travers," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).
Dalam pada itu, Mohd Mahidisham turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang tidak sah.
"Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!