Ada perjumpaan antara Datuk Zarul dan Gun Eng: Saksi
KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Sulit Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis bahawa, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bertemu dengan bekas Ketua Menteri itu, beberapa kali sebelum projek terowong bawah laut di negeri itu dianugerahkan kepada mana-mana pihak.
Farida Hani Yacob yang merupakan saksi keenam pendakwaan berkata demikian ketika prosiding hari kesembilan, kes Guan Eng atas tuduhan menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang di hadapan Hakim Azura Alwi.
Ketika membacakan pernyataan saksi, Farida berkata, pertemuan antara Guan Eng dan Zarul, yang juga pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) diadakan di Pejabat Ketua Menteri itu di Bangunan Komtar.
Bagaimanapun saksi berusia 47 tahun itu berkata, beliau tidak dapat menyatakan tarikh dan masa pertemuan itu diadakan dengan tepat.
Farida yang bekerja sebagai pembantu peribadi Guan Eng antara tahun 2009 hingga 2018 berkata, dia tidak dapat mengingati tarikh berkenaan namun ia berlaku tidak terlalu kerap.
“Saya mula kenal Datuk Zarul sebagai pemilik CZBUCG sejak media melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang,” katanya.
Dalam pada itu, saksi ketujuh pendakwaan, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian berkata, syarikatnya menerima markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek itu sebanyak 59 markah.
Meskipun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, Bok Thian berkata, WCT Construction mendapat markah jauh lebih rendah berbanding syarikat CZBUCG.
Berbeza dengan CZBUCG katanya, syarikat itu mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi projek tersebut.
“Markah kedua tertinggi adalah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan bersambung esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!