Remaja dijangkiti Covid-19 berdepan komplikasi, maut

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Meskipun remaja lingkungan usia 12 hingga 17 tahun kurang terkesan dengan Covid-19, namun terdapat sebilangan mereka yang dijangkiti mendapat penyakit serius dan maut.

Pakar Penyakit Berjangkit Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata, sebilangan besar remaja yang mempunyai penyakit kronik lebih cenderung mengalami komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Menurutnya, pihaknya telah mengenalpasti satu komplikasi serius iaitu dikenali sebagai multi system inflammatory syndrome in children (MIS-C).

"Komplikasi itu jarang dilaporkan di seluruh dunia tetapi ia adalah sangat serius.

"Di negara kita, telah ada kes-kes sedemikian direkodkan," katanya pada sesi libat urus bersama media pada Khamis.

Beliau berkata, jangkitan terhadap golongan berusia 18 tahun ke bawah menunjukkan peningkatan kepada 310,000 kes tahun ini sehingga Ogos lalu dengan 41 kematian berbanding tahun lalu hanya 12,260 kes dan enam kematian.

Dr Nik Khairulddin berkata, pihaknya menjangkakan remaja berkemungkinan besar akan menjadi fokus kepada jangkitan seterusnya.

"Apabila lebih ramai orang dewasa diberikan vaksinasi, virus ini akan mencari mangsa-mangsa yang tidak mempunyai ketahanan badan dan tiada vaksinasi, jadi kemungkinan besar golongan remaja akan menjadi fokus kepada jangkitan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kesemua remaja yang mempunyai masalah kesihatan perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Katanya, setakat ini vaksin yang disyorkan adalah Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dengan 0.3ml setiap dos diberikan dengan selang masa 21 hari.

"Pengambilan ubat paracetamol untuk mengelakkan demam atau kesakitan sebelum suntikan adalah tidak digalakkan melainkan digunakan selepas suntikan jika perlu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!