Simulasi bencana banjir tingkat kecekapan penyelamat
KEMAMAN - Musim Monsun Timur Laut antara November hingga Mac setiap tahun membawa hujan lebat, terutama di negeri-negeri pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Ia boleh menyebabkan berlaku banjir, terutama di kawasan tanah rendah dan sekitar lembangan sungai.
Justeru, sebagai persiapan awal menghadapi banjir, gerakan agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Pasukan Khidmat Malaysia mengadakan Program Latihan Simulasi Bencana Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Sungai Kemaman (Kemaman Water Front) dan Telaga Simpul, di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, program bermula pada Isnin dan berakhir Khamis menjadi medan bagi 48 peserta daripada pelbagai agensi untuk menguji ketahanan mental apabila berdepan situasi sebenar banjir.
“Simulasi banjir ini diadakan untuk anggota penyelamat sebagai latihan berterusan setiap tahun. Kita mahu menerapkan nilai kesiapsiagaan supaya semua anggota lengkap dengan ilmu dan bersedia sekiranya arahan dikeluarkan dalam apa juga bencana,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyampaian sijil penutup Latihan Dalam Perkhidmatan (LTD) Simulasi Banjir Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat IPD Kemaman 2021 di Telaga Simpul, di sini pada Khamis.
Malah, katanya, simulasi banjir juga penting dalam mewujudkan koordinasi, komunikasi dan kesefahaman antara semua agensi penyelamat.
“Para peserta turut diajar panduan menggunakan kompas mencari mangsa di hutan, keyakinan hanyut di air, mencari mangsa lemas di sungai, penggunaan tali bagi mengikat atau menyelamat mangsa tanah runtuh, meyakinkan diri apabila berhadapan dengan binatang berbahaya atau berbisa dan menyelamat di hutan," katanya
Hanyan berkata, simulasi itu juga penting untuk mewujudkan kesefahaman antara semua agensi apabila berlaku bencana seperti banjir, semua agensi penyelamat mempunyai matlamat sama untuk menyelamat mangsa.
“Walaupun setiap agensi mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berbeza, kita mahu memastikan operasi menyelamat yang dijalankan kelak berjalan lancar,” katanya.
Jelas Hanyan, peserta juga didedahkan dengan pelbagai teknik supaya mereka bersedia apabila berdepan situasi sebenar.
"Selain itu, antara perkara yang turut dititikberatkan dalam program simulasi banjir ini adalah berkaitan aspek keselamatan supaya masyarakat yakin dengan keupayaan anggota dalam melaksanakan operasi menyelamat.
“Peserta juga menjalankan latihan berenang untuk menambah keyakinan diri peserta supaya mereka tidak ‘segan’ dengan air, malah sekiranya berdepan situasi tidak diingini, sekurang-kurangnya mereka tahu untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!