Mat Roni dilantik CEO baharu Felcra Berhad
SHAH ALAM - Felcra Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Mat Roni Zakaria sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan baharu berkuat kuasa pada 22 September 2021.
Felcra Bhd dalam kenyataan pada Khamis berkata, pelantikan ini membuktikan bakat dalaman Felcra berjaya dibangunkan dan diperkasakan untuk menggalas cabaran sebagai barisan kepimpinan korporat tertinggi.
Menurut kenyataan itu, Mat Roni sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Infrastruktur Peserta dan Projek kerajaan bermula April 2021 iaitu salah satu portfolio terpenting dalam menjaga kesejahteraan peserta dan memastikan mandat sosial sentiasa menjadi fokus utama.
“Berkelulusan Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia USM), Mat Roni memulakan karier bersama Felcra Berhad pada tahun 1983 sebagai Pembantu Pengurus Ladang.
“Setelah menimba pengalaman luas di lapangan perladangan, Mat Roni diberi peluang mengembangkan pengetahuan dan kebolehan sebagai Pegawai Tadbir Felcra Berhad Negeri Perak pada tahun 1994, sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah Felcra Berhad Negeri Pahang pada tahun 2002.
“Mat Roni kembali berkhidmat di ibu pejabat sebagai Ketua Bahagian Pentadbiran antara tahun 2006 dan 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar Wilayah Timur merangkap Ketua Pentadbir Felcra Kelantan antara tahun 2008 dan 2010,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Mat Roni sentiasa berusaha memberikan keutamaan agar infrastruktur bagi 112,479 orang peserta dan keluarga mereka di seluruh negara berada dalam tahap terbaik.
“Sepanjang karier, Mat Roni juga telah dilantik menerajui beberapa entiti korporat, antaranya Ahli Lembaga Pengarah Felcra Ever Herald Sdn Bhd, Felcra Agro Industry Sdn Bhd dan Felcra Jaya Samarahan Sdn Bhd.
“Mat Roni membawa jiwa Felcra dalam merealisasikan visi dan misi seiring dengan aspirasi serta matlamat membangunkan sosioekonomi peserta ke tahap yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!