GLC Kedah gagal bayar premium pembalakan RM38 juta

Muhammad Sanusi ketika sesi perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.
Muhammad Sanusi ketika sesi perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah yang diberikan kuota pembalakan dikesan gagal membuat pembayaran premium sehingga RM38 juta kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan GLC terbabit menjual kuota pembalakan yang diperoleh bagi tempoh beberapa tahun, namun tidak membayar premium kepada Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah.

Menurutnya, tindakan GLC terbabit menjadi bebanan kerana sepatutnya mereka memainkan peranan untuk menjana pendapatan bagi meningkatkan hasil negeri.

“Ada GLC kononnya setiap tahun dapat kuota pembalakan tetapi kuota tahunan itu sudah habis. Kuota tahun depan dan tahun akan datang pun habis.

“Ada GLC bawah pemantauan saya berhutang premium dengan JPN Kedah cecah RM38 juta. Padahal mereka jual kuota pembalakan berapa puluh tahun saya tidak tahu, tetapi dibuat atas alasan projek ladang hutan,” katanya ketika sesi perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah dibenarkan membuka ladang hutan seluas kira-kira 15,000 hektar berbanding keluasan keseluruhan hutan sebanyak 106,000 hektar.

"Dalam dasar ladang ganti perhutanan, dibenarkan buka 15 peratus daripada jumlah keseluruhan hutan tetapi sudah melepasi had. Ketika saya jadi Menteri Besar, sudah ada kelulusan 22,000 hektar rancangan ladang hutan.

"Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menetapkan hanya tujuh spesis pokok dibenarkan ditanam di ladang hutan bagi bekalan kayu, tetapi ada ladang hutan ditanam pokok durian Musang King bagi tujuan diambil buahnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri kini seakan ‘terikat’ kerana kelulusan sudah diberikan lebih awal tanpa penetapan kawasan yang boleh dibalak.

“Sekiranya kuota yang sudah diberi kelulusan itu dibatalkan, kerajaan negeri terpaksa bayar balik bayaran premium yang tinggi selain kemungkinan diseret ke mahkamah oleh syarikat terbabit,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media, Muhammad Sanusi menjelaskan berdasarkan perjanjian antara GLC dan syarikat terbabit, komitmen dan transaksi telah dibuat namun kelulusan belum diberikan.

“Tiada pilihan, walaupun tidak menyalahi undang-undang namun melangkaui kouta tahunan. Kelulusan terpaksa diluluskan pada zaman kita padahal penjualan itu pada zaman lain. Untuk elak disaman, terpaksa cari kawasan sesuai untuk diluluskan atas persetujuan sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!