Bantu pengusaha restoran ambil pekerja asing: Kimma

Foto hiasan. Gambar kecil: Haji Syed Ibrahim Kader
Foto hiasan. Gambar kecil: Haji Syed Ibrahim Kader
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berharap kerajaan memberi perhatian khusus membantu pengusaha restoran untuk mengambil pekerja asing bagi melancarkan operasi di premis makanan.

Presidennya, Datuk Seri Haji Syed Ibrahim Kader berkata, walaupun kerajaan melanjutkan waktu operasi, kekurangan tenaga kerja memberi impak terhadap servis perkhidmatan pelanggan di setiap premis.

“Saya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi perhatian khusus dalam membantu industri restoran yang banyak menyumbang dalam pembangunan negara.

“Ramai pengusaha sedang menanti bagaimana kerajaan dapat membantu mereka untuk mengambil pekerja asing bagi meneruskan operasi.

“Sebagai seorang perdana menteri prihatin, saya yakin beliau akan membawa khabar gembira kepada para pengusaha dalam masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, kebanyakan pengusaha restoran menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja agak kritikal berikutan ramai pekerja asing telah pulang ke negara asal susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac 2020.

Katanya, ada yang ingin kembali bekerja di Malaysia tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat keputusan kerajaan yang tidak membenarkan kemasukan pekerja asing walaupun masih memiliki permit kerja yang sah.

“Pengusaha tidak dapat mengambil pekerja asing baharu dan bilangan mereka yang pulang ke negara asal terus meningkat setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka mengambil semua langkah untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan tetapi ia tidak berhasil walaupun dengan tawaran gaji yang lumayan. Jadi, tidak ada pilihan lain selain mengharapkan tenaga kerja asing untuk meneruskan operasi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!