Polis tahan pegawai kanan SPRM miliki dadah, senjata api

Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa, untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.

Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu.

"Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bemula Selasa sehingga Ahad ini.

SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

Susulan itu, pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya juga sudah meminta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mempercepatkan siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.

Kata Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!